TAKLIMAT PERSEDIAAN PEMBUKAAN SEMULA MAAHAD TAHFIZ, MADRASAH DAN PONDOK NEGERI PAHANG

PEKAN. 2 Julai 2020 Bersamaan 10 Zulkaedah 1441 Hijrah – Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang melalui Setiausahanya, Yang Hormat Dato’ Ahmad Hairi bin Haji Hussain, meluluskan peruntukan RM2,000 sumbangan am kepada maahad tahfiz, madrasah dan pondok berdaftar sebagai persediaan dan perbelanjaan pengurusan pembukaan semula institusi pendidikan agama berkenaan. Sehubungan dengan itu juga, Majlis Ugama Islam Pahang mengadakan program Taklimat Persediaan Pembukaan Semula Maahad Tahfiz, Madrasah dan Pondok yang berlangsung di Dewan Utama, Kompleks Islam Sultan Haji Ahmad Shah, di sini, pagi tadi. Kehadiran melibatkan seramai 165 orang terdiri daripada pengetua dan wakil pengurusan institusi pendidikan agama yang terlibat sama ada berdaftar dan tidak berdaftar.

Taklimat ini diadakan susulan daripada pengumuman oleh Yang Berhormat Menteri Kanan Pertahanan semasa sidang media pada 26 Jun yang lalu, kebenaran pembukaan diberikan kepada tahfiz yang berdaftar sahaja dan perlu mematuhi SOP Kementerian Pendidikan yang telah ditetapkan. Manakala yang tidak berdaftar pula, perlu memohon dengan pihak berkuasa agama negeri.

Jawatankuasa Penasihat Pendidikan Agama Islam Negeri Pahang yang bersidang pada 30 Jun yang lalu, bersetuju memutuskan maahad tahfiz yang berdaftar mengguna pakai SOP yang ditetapkan, manakala sekolah yang tidak berdaftar perlu dibuat pemeriksaan keselamatan terlebih dahulu dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Pahang serta pemeriksaan kesihatan dan kebersihan oleh Pejabat Kesihatan daerah sebelum dibuka semula.

Selain itu juga, jumlah kapasiti murid yang akan bersekolah perlu diambil kira selepas dibuat penjarakan sosial di asrama dan di dalam kelas. Bagi memastikan kesiapsiagaan serta kesediaan sebelum dan selepas sekolah dibuka, ditubuhkan jawatankuasa khas pemantauan untuk membuat pemeriksaan melibatkan beberapa jabatan supaya semua sekolah mematuhi garis panduan dan SOP yang telah ditetapkan.

Program taklimat hari ini disampaikan oleh Yang Berbahagia Ustaz Mohd Ali bin Mat Dasir selaku Pegawai Zakat Kanan MUIP, wakil-wakil dari Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Jabatan Kesihatan Negeri Pahang serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Pahang.

Pahang merekodkan sejumlah 83 buah maahad tahfiz, madrasah dan pondok berdaftar, manakala 71 buah sedang dalam proses pendaftaran. Semua institusi pendidikan ini boleh memulakan sesi persekolahan tertakluk kepada syarat ketat yang telah ditetapkan. Adalah diharapkan penganjuran program taklimat ini dapat membantu memberi penerangan yang jelas kepada pihak yang terlibat bagi memastikan langkah-langkah pencegahan virus COVID-19 ini dan persiapan pengurusan sekolah pada tahap yang maksima.