Syarat-Syarat Kelayakan Peguam Syarie Negeri Pahang
Diwartakan pada 19 November 2021
Peraturan 9 dan 10
Kelayakan-kelayakan Peguam Syarie
9. (1) Mana-mana orang yang memenuhi syarat yang berikut adalah layak untuk menjadi seorang Peguam Syarie :
(a) seorang yang beragama Islam;
(b) seorang warganegara Malaysia;
(c) berkelakuan baik dengan perakuan dua orang perujuk (salah seorang adalah majikan pemohon, jika ada);
(d) tidak pernah disabitkan atas apa-apa kesalahan oleh Mahkamah Syariah di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013 [Enakmen No. 11 tahun 2013] atau Mahkamah Sivil di Malaysia atau di luar Malaysia;
(e) bukan seorang yang bankrap atau tidak pernah didapati bersalah atas apa-apa perbuatan atau tinggalan yang dinyatakan di dalam perenggan 33(6)(a), (b), (c), (e), (f), (h), (k) atau (l) Akta Kebankrapan 1967 [Akta 360];
(f) tidak dipecat, hilang kelayakan atau digantung atas kapasitinya sebagai seorang peguambela dan peguamcara;
(g) mempunyai kelayakan akademik-
(i) jika dia seorang peguamcara dan peguamcara yang berdaftar di bawah Akta Profesion Undang-Undang 1976 [Akta 166] hendaklah memegang Diploma Pentadbiran Kehakiman Dan Guaman Islam atau yang setaraf dengannya dari mana-mana universiti atau institusi pendidikan tinggi yang diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia;
(ii) Ijazah Sarjana Muda Syariah dan Diploma Pentadbiran Kehakiman dan Guaman Islam atau yang setaraf dengannya dari mana-mana universiti atau institusi pendidikan tinggi yang diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia;
(iii) Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dan Ijazah Sarjana Muda Syariah (Undang-undang) atau setaraf dengannya dari mana-mana universiti atau institusi pendidikan tinggi yang diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia; atau
(iv) Ijazah Sarjana Muda Syariah dan Pentadbiran Kehakiman daripada Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah atan setaraf dengannya; dan
(h) telah lulus ujian bertulis atau temuduga atau kedua-duanya sebagaimana yang ditetapkan oleh Jawatankuasa.
9. (2) Pemohon yang memiliki kelayakan yang disebut dalam perenggan (l)(g)(ii), (iii) atau (iv) hendaklah melengkapkan latihan dalam kamar enam bulan di mana-mana firma guaman Syarie sebelum diterima masuk sebagai Peguam Syarie.
9. (3) Latihan dalam kamar hendaklah diselia oleh seorang Peguam Syarie yang sedang dan telah menjalankan amalan secara aktif di Malaysia bagi tempoh keseluruhan tidak kurang daripada lima tahun sebelum sahaja latihannya bermula.
Pindaan Peraturan 10
4. Peraturan-Peraturan ibu dipinda dengan menggantikan subperaturan 10(3) dengan subperaturan yang berikut :
” (3) Setiap pemohon hendaklah menyebabkan ditampal satu salinan permohonannya di semua Mahkamah Tinggi Syariah selama tempoh satu bulan selepas permohonannya diserahkan kepada Pengerusi Jawatankuasa.”.