MUIP AGIH RM167 RIBU SUMBANGAN ZAKAT BAGI BANTUAN TERJEJAS BANJIR 24 BUAH MAAHAD TAHFIZ DAN MADRASAH NEGERI PAHANG.

TEMERLOH. 14 Januari 2021 Bersamaan 30 Jamadilawal 1442 Hijrah – Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang memperuntukkan sejumlah RM167 ribu bagi membantu 24 buah maahad tahfiz dan madrasah yang terjejas banjir. Bantuan ini disalurkan susulan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah yang prihatin akan keadaan maahad tahfiz dan madrasah yang ditenggelami banjir.

Sebagai simbolik penyampaian sumbangan berkenaan, penyerahan telah dibuat di 9 buah maahad tahfiz dan pondok di daerah Temerloh dan Maran yang terjejas dan akan disusuli 15 buah sekolah lain di 6 daerah dalam masa terdekat. Majlis sumbangan disampaikan oleh YBrs. Dr. Hj Asmadi bin Abdul Rahman, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) kepada mudir madrasah.

Hadir sama, Al-Fadhil Qadhi Daerah Temerloh, YBhg. Ustaz Mohd Rizzal bin Mohd Ali Nafiah, Al-Fadhil Qadhi Daerah Maran, YBhg. Ustaz Nik Ibrahim bin Nik Abdullah, Pengarah Bahagian Pengurusan Islam, YBhg. Ustaz Mohd Ali bin Mat Dasir, YBhg. Ustaz Mohd Azri bin Salehud-din, Ketua Unit Pendidikan serta Pengurus MUIP Cawangan Temerloh dan Maran.

Print Friendly, PDF & Email