SOALAN LAZIM

FAKIR DAN MISKIN

Bagaimana cara pemohon ingin membuat permohonan bantuan zakat?

Pemohon boleh memohon bantuan zakat melalui borang bantuan zakat BBM (pindaan 2018) yang boleh didapati di MUIP cawangan yang berdekatan dengan pemohon.

Apakah syarat bagi asnaf fakir dan miskin yang melayakkan mereka menerima bantuan?

Antara syarat-syaratnya ialah:-
a) Beragama Islam
b) Wanita atau anak-anak yang hilang tempat bergantung atau teraniaya.
c) Mendapat bantuan daripada mana-mana pihak tetapi tidak nmencukupi 50% had kifayah.
d) Tua/uzur/hidup sebatang kara/cacat yang tiada upaya untuk menyara hidup dan tiada tempat bergantung.

Berapakah jumlah agihan zakat yang diberikan?

Bagi setiap bantuan zakat, kadar bayaran adalah ditentukan oleh had kifayah yang akan dikira dalam sistem zakat MUIP. Kadar bayaran adalah tidak sama pada setiap pemohon dan ianya juga turut akan disiasat oleh kakitangan MUIP di setiap cawangan bagi setiap permohonan.

Adakah bantuan zakat ini bersifat kekal atau boleh diwarisi oleh kaum keluarga?

Bantuan zakat tidak bersifat kekal dan tidak boleh diwarisi oleh kaum keluarga. Setiap tahun pihak MUIP akan membuat semakan kepada setiap permohonan yang bersifat bulanan dan berkala bagi memastikan pemohon masih layak diberikan bantuan atau sebaliknya.

Adakah saya layak menerima bantuan zakat ini sedangkan saya telah menerima bantuan daripada agensi lain (JKM)?

Bergantung kepada jenis bantuan yang dimohon dan jenis kesulitan dan penyakit yang dihadapi oleh pemohon dalam memohon bantuan zakat MUIP.

Adakah janda boleh dikira sebagai asnaf?

Janda tidak termasuk dalam asnaf zakat, melainkan dirinya jatuh dalam kategori asnaf seperti fakir, miskin dan lain-lain.

Adakah orang tua yang uzur boleh dikira sebagai miskin?

Orang tua yang uzur boleh dikira sebagai miskin sekiranya sumber pendapatan yang diperoleh tidak mencukupi untuk menampung keperluannya dan tidak mempunyai bantuan lain.

Apakah perbezaan fakir dan miskin?

Fakir : Golongan yang tidak mempunyai dan tidak mampu untuk mencari sumber pendapatan bagi menyara hidupnya.
Miskin : Golongan yang mempunyai sumber pendapatan dengan kadar yang kecil sehingga tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan asasnya.
Menurut Ulama’ Mazhab Syafie dan Hambali :
Fakir ialah orang yang tidak mempunyai harta dan tidak mempunyai pendapatan yang dapat menampung keperluannya. Dia juga tidak mempunyai suami atau ibu bapa atau anak cucu yang memberi nafkah kepadanya dalam kadar yang mencukupi1. Dalam Tafsir al-Maghari, dinyatakan fakir itu ada harta tetapi tidak mencukupi keperluannya2.
Miskin ialah mereka yang mempunyai harta atau penghasilan yang layak memenuhi keperluannya dan orang yang menjadi tanggungannya tetapi tidak sepenuhnya3.
1 Dr Wahbah Al-Zuhaili, Fiqh dan Perundangan Islam, Jilid 2, hlm; 952.
2 Nik Mustafa Nik Hassan, Kaedah Pengagihan Dana Zakat satu Perspektif Islam, hlm; 8.
3 Dr Wahbah Al-Zuhaili, Fiqh dan Perundangan Islam, Jilid 2, hlm; 952.

Bolehkah anak yatim menerima zakat atau dikategorikan sebagai asnaf?

Tidak boleh, kerana anak yatim bukan asnaf zakat. Walau bagaimanapun, anak yatim boleh menerima zakat sekiranya tergolong dalam 8 asnaf yang telah ditetapkan iaitu sama ada ia fakir, miskin, amil, muallaf, al-riqab, al-gharimin, ibnu sabil dan fisabilillah.

MUALLAF

Apakah syarat-syarat yang perlu ada bagi pemohonan bantuan zakat muallaf?

Antara syarat-syarat yang perlu ada ialah:-
a) Orang bukan Islam atau seorang pemimpin bukan Islam yang berpengaruh dan berjinak-jinak dengan Islam dan diharapkan dengan pemberian zakat akan menarik beliau kepada Islam dan mempengaruhi masyarakatnya kepada Islam.
b) Saudara baru dan tanggungannya yang masih memerlukan bimbingan dan perlindungan.
c) Orang bukan Islam yang cenderung kepada Islam dan diharapkan dengan pemberian bantuan dapat melembutkan hatinya menerima Islam.

Berapakah tempoh asnaf muallaf ini mendapat bantuan daripada MUIP?

Bantuan hari raya asnaf muallaf akan diberikan selama tempoh 7 tahun selepas muallaf memeluk agama Islam.

Adakah permohonan bantuan ini hanya ditetapkan bagi muallaf yang berdaftar di Negeri Pahang sahaja yang layak memohon bantuan dari MUIP?

Ya. Hanya muallaf yang memeluk agama Islam di negeri Pahang sahaja akan mendapat bantuan asnaf muallaf yang di mohon oleh mereka.

Adakah asnaf muallaf ini akan mendapat bantuan khas selepas mereka memeluk agama Islam?

Ya. Mereka yang memeluk agama Islam di negeri Pahang akan diberikan saguhati wang ringgit dan kit ibadah setiap seorang.

Bagaimana muallaf ingin mempelajari ilmu agama dan mendaftar kelas agama?

Program-program ilmu agama seperti kelas fardu ain khas untuk golongan muallaf ada dilaksanakan di beberapa tempat seperti masjid dan surau. Setiap daerah juga mempunyai Pusat Dakwah untuk muallaf dan maklumat lanjut lokasi boleh rujuk dengan MUIP cawangan daerah yang berdekatan.

Bolehkah seseorang muallaf menerima zakat di negeri Pahang selepas memeluk Islam melebihi 7 tahun?

Tidak boleh, melainkan dia termasuk dalam asnaf yang lain seperti fakir atau miskin.

Berapa lama seseorang itu dikira muallaf?

Di negeri Pahang, MUIP telah menetapkan bahawa seseorang itu dikira sebagai muallaf selama 7 tahun sahaja.

BANTUAN DERMASISWA

Apakah itu Bantuan Dermasiswa IPT/ Pondok ?

Satu inisiatif bantuan yang diberikan kepada semua pelajar-pelajar pemastautin Negeri Pahang yang sedang mengikuti pengajian diperingkat Diploma/Ijazah Sarjana Muda sepenuh masa di Institusi Pengajian Tinggi Awam/Swasta serta Pondok. Pemohon yang telah memperolehi keputusan peperiksaan terkini sahaja yang layak mohon bantuan ini.

Bagaimanakah cara untuk memohon Dermasiswa?

Pemohonan dermasiswa hendaklah dibuat secara atas talian di Zakat4Pengajian.muip.gov.my (Klik sini)

Siapakah yang layak untuk memohon Dermasiswa?

Permohonan ini terbuka kepada semua pelajar yang menuntut di pusat pengajian pondok, IPTA/S dalam dan Luar Negara.

Apakah syarat-syarat yang perlu ada untuk memohon Bantuan Dermasiswa IPT/ Pondok?

Antara syarat-syarat yang perlu ada ialah:-
a) Pemohon hendaklah warganegara Malaysia dan beragama Islam.
b) Pemohon yang berumur tidak kurang daripada 13 tahun.
c) Pemohon yang dilahirkan/bermastautin dalam Negeri Pahang Darul Makmur.
d) Pemohon sedang mengikuti pengajian peringkat Pondok atau Diploma atau Sarjana Muda.
e) Pemohon yang lulus peperiksaan tahun/semester pertama.
f) Tidak layak bagi pemohon yang menerima elaun bulanan seperti IPG,KKM, KKTM, KPM.
g) Pemohon sekurang-kurangnya telah mencukupi 1 tahun pengajian bagi peringkat Pondok.

Bilakah tarikh permohonan Dermasiswa on-line ini akan dibuka dan tarikh tutup permohonan tersebut?

Permohonan ini akan dibuka pada setiap 01hb Januari tiap-tiap tahun dan akan ditutup pada bulan Mei. Setiap pemohon hendaklah menghantar kesemua dokumen yang dikehendaki ke Pentadbiran ini selewat-lewatnya pada tarikh tutup permohonan.

Apakah dokumen yang mesti disertakan semasa menghantar borang pengesahan?

Pemohon hendaklah menghantar dokumen yang telah disahkan benar seperti berikut :-
a) Borang pengesahan yang telah lengkap,
b) Salinan kad pengenalan,
c) Salinan keputusan peperiksaan yang terkini.

Berapakah jumlah bantuan yang akan diluluskan kepada setiap pelajar?

Jumlah bantuan tersebut bergantung kepada keputusan Mesyuarat Dermasiswa yang akan diadakan setiap tahun.

Bilakah keputusan Bantuan Dermasiswa IPT/Pondok akan diumumkan?

Untuk makluman semua pemohon, keputusan ini tidak akan diumumkan melainkan pemohon yang akan menghubungi MUIP untuk mengetahui keputusan tersebut. Kebiasaannya keputusan ini akan dibuat selepas mesyuarat Jawatankuasa Dermasiswa. Pemohon juga boleh menyemak sendiri di laman web zakat4pengajian dengan log masuk menggunakan id pemohon.

Apakah kursus pengajian yang layak untuk memohon Bantuan Dermasiswa IPT/ Pondok?

Dermasiswa akan diberikan kepada semua bidang pengajian di peringkat pondok, diploma dan sarjana muda dalam Negara manakala hanya bidang Pengajian Islam dan perubatan sahaja diberikan kepada pemohon yang mengikuti pengajian di luar Negara.

Saya telah menghantar ke semua dokumen ke Pentadbiran MUIP pada awal bulan Mac. Bagaimanakah caranya untuk mengetahui samada permohonan saya itu telah diterima dan adakah ianya lengkap?

Status permohonan boleh disemak melalui Zakat4Pengajian.muip.gov.my (Klik sini) dengan memasukkan semula kata laluan yang sama seperti pendaftaran.

Saya sedang belajar di salah sebuah IPTA di Luar Negara dan telah mendapat pinjaman daripada Yayasan Pahang. Adakah saya layak untuk memohon Dermasiswa MUIP?

Anda layak memohon dan semua permohonan Dermasiswa akan dibawa ke mesyuarat untuk dipertimbangkan. Pada kebiasaannya MUIP tetap akan memberi bantuan kepada pemohon yang mempunya pinjaman atau tajaan daripada mana-mana pihak. Walaubagaimanapun ia tetap bergantung kepada keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Dermasiswa setiap tahun.

Saya telah menerima bantuan dermasiswa pada tahun lepas. Adakah saya layak untuk memohon bagi tahun yang berikutnya?

Semua pelajar boleh memohon dermasiswa sepanjang tahun pengajian di IPT. Akan tetapi mestilah mengikut semua syarat yang telah ditetapkan oleh MUIP.

Saya seorang pelajar di IPTA dan masih lagi di semester yang pertama. Adakah saya layak memohon bantuan dermasiswa ini?

Tidak Layak. Bagi pelajar baru mendaftarkan diti ke IPTA/S dan boleh memohon Bantuan Awal IPT melalui Zakat4Pengajian.muip.gov.my (Klik sini)

Jika mempunyai bilangan adik-beradik yang belajar di IPTA/S yang ramai. Adakah bantuan ini akan diberi kepada setiap seorang?

Ya. Bantuan ini bersifat individu dan diberikan kepada setiap pemohon yang memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh pihak MUIP.

Mengapa saya perlu membuat pengemaskinian maklumat peribadi, akaun bank dan alamat emel saya setelah pendaftaran saya telah berjaya pada kali pertama?

Kemaskini maklumat adalah bagi memastikan borang permohonan dimohon bagi tahun semasa dan maklumat yang diberikan adalah yang terkini.

Apa yang saya perlu lakukan jika terlupa kata laluan?

Pemohon boleh membuat semula kata laluan yang baru dengan memastikan bahagian nama ibu pada paparan terlupa kata adalah betul dengan menggunakan singkatan nama ibu sahaja.

Bantuan Tambang Belajar Luar Negara Pergi/Balik?

Apakah itu Bantuan Tambang Belajar Luar Negara Pergi/Balik?

Bantuan tambang pula diberikan kepada pelajar SARJANA MUDA dalam bidang Pengajian Islam / Perubatan yang menuntut di Timur Tengah dan Indonesia. Tuntutan tersebut mestilah tidak melibihi kadar yang telah ditetapkan dan hanya boleh dibuat setelah pergi (mula pengajian) dan balik (tamat pengajian).

Bagaimanakah cara untuk memohon Tambang Belajar Luar Negara Pergi/Balik?

Pemohonan Tambang Belajar Luar Negara Pergi/Balik hendaklah dibuat secara atas talian di Zakat4Pengajian.muip.gov.my (Klik sini)

Siapakah yang layak untuk memohon Tambang Belajar Luar Negara Pergi/Balik?

Permohonan ini terbuka kepada pelajar SARJANA MUDA dalam bidang Pengajian Islam / Perubatan yang menuntut di Timur Tengah dan Indonesia. Tuntutan tersebut mestilah tidak melebihi kadar yang telah ditetapkan dan hanya boleh dibuat setelah pergi (mula pengajian) dan balik (tamat pengajian).

Apakah syarat-syarat yang perlu ada untuk memohon Tambang Belajar Luar Negara Pergi/Balik?

Antara syarat-syarat yang perlu ada ialah :-
1. Beragama ISLAM,
2. Rakyat Negeri PAHANG atau Pemastautin Negeri PAHANG,
3. SARJANA MUDA dalam bidang PENGAJIAN ISLAM atau PERUBATAN sahaja,
4. Hanya kepada negara-negara seperti berikut :- Mesir, Morocco, Jordan, Sudan, Afrika dan Indonesia sahaja,
5. Perlu mengemukakan TIKET ASAL tambang pelajar,
6. Bagi Tuntutan Tambang PERGI, perlulah mengemukakan surat tawaran pengajian atau bagi Tuntutan Tambang BALIK, perlulah mengemukakan keputusan akhir dan perakuan tamat belajar,
7. Tuntutan hendaklah tidak melebihi DUA (2) tahun selepas pendaftaran pengajian/selepas tamat pengajian.

BANTUAN AWAL IPT

Apakah itu Bantuan Awal Ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT)?

Bantuan ini diberikan sekali sahaja kepada anak-anak kelahiran negeri Pahang yang melanjutkan pelajaran diperingkat Diploma/Sarjana muda/Sarjana/PhD secara sepenuh masa / PJJ di dalam atau di luar negara.

Bagaimanakah cara untuk memohon Bantuan Awal Ke Institut Pengajian Tinggi (IPT)?

Pemohonan Tambang Belajar Luar Negara Pergi/Balik hendaklah dibuat secara atas talian di Zakat4Pengajian.muip.gov.my (Klik sini)

Siapakah yang layak untuk memohon Bantuan Awal Ke Institut Pengajian Tinggi (IPT)?

Bantuan ini diberikan sekali sahaja kepada anak-anak kelahiran negeri Pahang yang melanjutkan pelajaran diperingkat Diploma/Sarjana muda/Sarjana/PhD secara sepenuh masa / PJJ di dalam atau di luar negara.

Apakah syarat-syarat yang perlu ada untuk memohon Bantuan Awal Ke Institut Pengajian Tinggi (IPT)?

Antara syarat-syarat yang perlu ada ialah :-
1. Beragama ISLAM
2. Rakyat Negeri PAHANG atau Pemastautin Negeri PAHANG.
3. LAYAK dibuat dalam TAHUN SEMASA surat tawaran KECUALI SARJANA/PhD.
4. Telah mendapat tawaran ke IPT bagi bidang seperti berikut:
a) DIPLOMA / SARJANA MUDA PENGAJIAN ISLAM SEPENUH MASA ;
b) SARJANA MUDA secara TIDAK SEPENUH MASA/PJJ bagi SEMUA BIDANG PENGAJIAN;
c) SARJANA SEPENUH MASA atau TIDAK SEPENUH MASA bagi SEMUA BIDANG PENGAJIAN;
d) PhD SEPENUH MASA atau TIDAK SEPENUH MASA bagi SEMUA BIDANG PENGAJIAN.
5. TIDAK pernah mendapat BANTUAN yang SAMA daripada MUIP

ZAKAT FITRAH

Bolehkah zakat dibayar kepada bukan amil yang bertauliah?

Tidak boleh mengikut undang-undang zakat di bawah Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982, Seksyen 173.
Menurut sejarah Islam, Rasulullah SAW dan semua khalifah melantik amil atau pengutip zakat di setiap wilayah jajahan mereka. amil yang dilantik juga mempunyai kelayakan tertentu seperti bersifat adil, amanah dan mempunyai pengetahuan tentang apa yang patut dan apa yang tidak patut dia mengambilnya sekiranya timbul permasalahan tentang zakat. Sebahagian ulama’ berpendapat bahawa sekiranya telah ada amil yang dilantik oleh pihak berkuasa, maka zakat itu hendaklah diserahkan kepada amil yang dilantik kerana meratanya agihan zakat.
Sehubungan dengan itu, sebagai pihak yang berkuasa, MUIP telah memperuntukkan undang-undang zakat di bawah Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam melayu Pahang 1982, Seksyen 173: “Sesiapa yang wajib membayar Zakat atau Fitrah, membayar kepada seseorang bukan Amil, dan sesiapa yang bukan Amil menerima atau mengutipnya adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabit boleh dihukum dengan didenda tidak lebih daripada dua ribu ringgit atau penjara tidak lebih daripada satu tahun atau kedua-duanya sekali”.

Bagaimana jika amil tidak menyerahkan kutipan zakatnya?

Adalah satu kesalahan jika seseorang amil tidak menyerahkan kutipan zakatnya sebagaimana dalam Seksyen 174 Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982:
“Mana-mana Amil, setelah menerima atau mengutip zakat dan Fitrah tidak menyerahkan kutipannya atau kira-kira kutipannya sebagaimana yang dikehendaki oleh Enakmen ini atau Peraturan-peraturan yang dibuat di bawahnya adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila sabit bolehlah dihukum dengan didenda tidak lebih daripada lima ratus ringgit atau penjara tidak lebih daripada tiga bulan atau kedua-duanya”.

Bagaimana jika seseorang enggan membayar zakat?

Adalah menjadi kesalahan jika seseorang enggan membayar zakat sebagaimana dalam Seksyen 171 Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982:
“Sesiapa yang wajib membayar zakat dan fitrah mengikut penetapan yang sah akan banyaknya dan tidak berjaya mendapatkan pengecualian daripada pembayarannya atau apa-apa keputusan yang lain tidak mahu atau dengan sengaja tidak membayarnya adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila sabit bolehlah dihukum dengan didenda tidak lebih dariapda satu ribu ringgit atau penjara tidak lebih daripada enam bulan atau kedua-duanya”.