KDYMM PEMANGKU RAJA PAHANG KURNIA SUMBANGAN, SANTUNI 11 MANGSA BENCANA

PEKAN. 20 November 2020 Bersamaan 4 Rabiulakhir 1442 Hijrah – Sebelas mangsa ribut di dua tempat di daerah ini menerima kunjungan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas baginda menunaikan solat Jumaat di Masjid As-Syakirin, Tg Selangor.

Keberangkatan baginda bagi menyantuni keadaan mangsa yang terlibat susulan kejadian ribut yang berlaku pada 17 November yang lalu. Baginda diiring ke lokasi rumah-rumah mangsa yang terlibat serta diberi penerangan berkaitan kejadian bencana oleh Yang Berbahagia Pengurus MUIP Cawangan Pekan, Ustaz Muhammad Hafidz bin Abdul Halim.

Baginda turut berkenan mengurniakan sumbangan peribadi dan selaku Tuanku Yang Dipertua, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang dikurniakan bantuan zakat bencana berjumlah RM4,700 berserta hamper barangan keperluan bagi meringankan beban mangsa ribut. Baginda diiringi paduka kakanda, Yang Amat Mulia Tengku Panglima Raja Leftenan Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Timbalan Yang Dipertua MUIP. Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang menyediakan peruntukan bantuan bencana bagi meringankan beban mangsa. Sehingga Oktober, MUIP memperuntukkan sejumlah RM174,200 kepada 220 orang penerima.

Mengiringi baginda, Yang Hormat Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, Dato’ Ahmad Hairi bin Haji Hussain dan Yang Berusaha Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi), Dr. Asmadi bin Abdul Rahman. Kejadian ribut yang melanda pada Selasa yang lalu menyebabkan 7 buah rumah di Kampung Serandu dan 4 buah rumah di Taman Seri Maulana mengalami kerosakan.
#zakatpahang #bantuanbencana

Wartawan : Safura
Foto : Asyraf

Print Friendly, PDF & Email