PENGUMUMUAN KADAR ZAKAT FITRAH NEGERI PAHANG BAGI TAHUN 2021

PEKAN 7 APRIL 2021: Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang telah menjalankan satu sidang media bersama-sama pihak wartawan berkenaan pengumuman kadar Zakat Fitrah negeri Pahang bagi tahun 1442H/2021M. Dalam sidang media tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif, Yang Hormat Dato’ Ahmad Hairi bin Hussain telah menyampaikan kadar zakat fitrah di negeri Pahang sebanyak RM 7.00 (Ringgit Malaysia Tujuh Sahaja) setelah mendapat perkenan oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah selaku Ketua Agama Islam bagi Negeri Pahang.

Beliau juga berkata, dalam keadaan pandemik Covid-19 yang merebak di negeri ini, kaedah bayaran melalui 942 orang Amil Zakat Fitrah yang bertauliah akan dilaksanakan mengikut SOP yang disediakan. Kaedah pembayaran Zakat Fitrah secara atas talian (online) adalah sangat digalakkan melalui capaian ezakat.muip.gov.my.

Selain itu, beliau juga mengatakan sesiapa yang didapati memungut Zakat Fitrah tanpa dia diberi kuasa atau dilantik oleh Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang adalah melakukan kesalahan di bawah seksyen 38 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih daripada tiga ribu ringgit atau penjara tidak lebih daripada dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Skip to content