MUIP TERLIBAT DALAM SUKARELAWAN PASCA BANJIR BERSAMA AGENSI AGAMA ISLAM NEGERI PAHANG.

TEMERLOH, 14 Januari 2021, bersamaan 30 Jamadilawal 1442 Hijrah – Seramai 20 orang sukarelawan yang juga merupakan kakitangan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang telah memulakan misi bantuan pasca banjir di sekitar daerah Temerloh hari ini. Sukarelawan yang diketuai oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif ( Pengurusan dan Dasar ), Encik Khairuddin Bin Ismail telah membantu kerja-kerja pembersihan di Masjid Kg Tebal Seberang Temerloh dan SRA At-Taqwa Tanjung Lalang.

Misi bantuan pasca banjir ini juga turut melibatkan beberapa agensi agama yang lain iaitu Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Pejabat Agama Islam Daerah (PAID), Jabatan Mufti Negeri Pahang, Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Haji Ahmad Shah (KUIPSAS), Pusat Kutipan Zakat Pahang (PKZ) serta Mahad Tahfiz Negeri Pahang di SRA Al-Mukmin Kg Paya Kechik dan Mahad Tahfiz Al-Amin Kg Berhala Gantang. Sukarelawan pasca banjir bersama agensi agama Islam negeri Pahang ini merupakan satu inisiatif yang digerakkan bagi membantu institusi agama yang terlibat dengan banjir seperti masjid, surau, sekolah agama serta mahad tahfiz dan sekolah pondok yang berdaftar.

Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang telah memperuntukkan sebanyak RM 2 juta dari peruntukan wang zakat bagi menjalankan misi bantuan pasca banjir ini bagi membantu institusi agama yang terjejas akibat banjir merangkumi keperluan barangan, program-program pembersihan serta alatan bantuan pembersihan. Bantuan pasca banjir ini juga akan diteruskan ke daerah – daerah lain yang terjejas sehingga semua institusi agama yang terlibat boleh beroperasi seperti sedia kala.

Print Friendly, PDF & Email