SEJARAH PENUBUHAN

Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang mula ditubuhkan pada tahun 1926. Yang Dipertua Majlis pertama adalah Al-Marhum Yang Amat Mulia Tengku Besar Sulaiman. Pada permulaan, Majlis dikenali sebagai Majlis Anggota Islam Pahang, kemudian berubah nama kepada Majlis Ugama Islam dan Adat Istiadat Melayu Pahang, akhirnya bertukar kepada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang yang kekal sehingga hari ini.

Pada 8 Mei 1974, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah ditabal menaiki takhta Kerajaan Negeri Pahang. Selaku Ketua Agama Negeri Pahang, baginda telah mempengerusikan Mesyuarat Majlis. Namun begitu, mulai 1 November 1984, Baginda Sultan telah melantik Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang selaku Yang Dipertua Majlis dan kekal menerajui Majlis sehingga hari ini.


PEJABAT OPERASI

Istana Kuning

Pejabat Kadi Lama

Bangunan JAIP

Pejabat KDYMM Sultan Pahang

Namun begitu, di atas rasa keprihatinan, KDYMM Sultan Pahang berkenan mengurniakan sebidang tanah seluas 4.35 ekar untuk pembinaan sebuah kompleks pentadbiran Majlis. Pada 21 Oktober 2002, KDYMM Sultan Pahang berkenan menyempurnakan upacara pecah tanah menandakan bermulanya pembinaan kompleks ini. Pembinaan kompleks ini sebagai Ibu Pejabat Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang telah menelan kos keseluruhan berjumlah RM13.85 juta, sebanyak RM6 juta disumbangkan oleh Kerajaan Persekutuan manakala kos selebihnya ditanggung oleh Majlis sendiri.

Pada 5 Julai 2006 satu upacara Majlis Serahan Bangunan Kompleks Majlis di Jalan Istana Permai Pekan oleh Pengarah JKR Negeri Pahang YH. Dato’ Ir. Rosman bin Yahya kepada YDH. Dato’ Sri Wan Haji Abdul Wahid bin Wan Hassan selaku Timbalan Yang Dipertua Majlis telah diadakan di Dewan Teater Majlis. Bermula dari tarikh tersebut, operasi pentadbiran Majlis berpindah dari Pejabat KDYMM Sultan Pahang ke bangunan kompleksnya sendiri.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang telah merasmikan kompleks ini pada tanggal 21 Jun 2007 dan berkenan menamakannya sebagai Kompleks Islam Sultan Haji Ahmad Shah.