KADAR ZAKAT FITRAH NEGERI PAHANG KEKAL RM 7.00

PEKAN, 24 Mac 2022 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’In Billah, sultan dan raja pemerintah bagi negeri Pahang Darul Makmur serta segala jajahan takluknya, selaku ketua agama Islam negeri Pahang telah memperkenankan kadar zakat fitrah negeri Pahang bagi tahun 1443 Hijriyyah bersamaan 2022 Masihi adalah sebanyak RM 7.00 (ringgit malaysia tujuh sahaja). Pengumuman itu telah dibuat oleh YH. Dato’ Ahmad Hairi bin Hussain, Ketua Pegawai Eksekutif MUIP dalam satu sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang hari ini. Dalam ucapannya, beliau memaklumkan beberapa SOP bagi umat Islam yang ingin menunaikan zakat fitrah di seluruh negeri Pahang adalah tidak jauh berbeza seperti yang telah dilaksanakan pada tahun lepas.

Umat Islam boleh menunaikan kewajipan tersebut di masjid atau surau sepanjang bulan Ramadan bermula selepas waktu solat Subuh sehingga jam 10.30 malam atau dengan persetujuan pihak masjid sekiranya melebihi tempoh yang ditetapkan. Tambahnya lagi, umat Islam digalakkan untuk membayar zakat fitrah ini dengan kaedah secara atas talian. Katanya, walaupun negara bakal beralih ke fasa endemik bermula Ramadan ini, namun semua mestilah sentiasa berwaspada dan meminimakan risiko jangkitan Covid-19.

“Adalah diharapkan kepada semua umat Islam di negeri ini, tidak menunggu sehingga ke saat-saat akhir bulan Ramadan bagi menunaikan zakat fitrah ini, kerana kita takut nanti akan berlaku kesesakan dan perkara-perkara yang tidak dingini seperti penularan wabak covid-19 dan sebagainya,” Dalam sidang media itu juga, pihak MUIP turut menyampaikan sumbangan bantuan tahunan hari raya kepada penerima agihan bantuan zakat bulanan berjumlah RM 2,778,000.00 melibatkan seramai 5556 ketua isi rumah dan asnaf fakir miskin berjumlah RM 3,066,800.00 melibatkan seramai 6427 ketua isi rumah di negeri Pahang. Golongan saudara baharu dan saudara Muslim juga turut akan menerima agihan bantuan tahunan hari raya berjumlah RM 1,737,300.00 melibatkan seramai 3898 ketua isi rumah.

Di samping itu, pihak MUIP juga akan mengagihkan sumbangan kepada masjid-masjid di negeri Pahang berjumlah RM 4,204,000.00 melibatkan sebanyak 676 buah masjid dan surau kebenaran jumaat serta sumbangan kepada 3 buah masjid IPTA negeri Pahang iaitu universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UNIPSAS), Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Turut hadir dalam sidang media tersebut, YBrs. Dr. Asmadi bin Abdul Rahman, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, YBhg. Encik Khairuddin bin Ismail, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan dan Dasar) MUIP, Pengarah Bahagian serta pegawai-pegawai Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang.
#zakatfitrah #muip #zakat

Skip to content