CONTOHI SIFAT-SIFAT NABI SAW – YAM TENGKU PANGLIMA RAJA

PEKAN. 5 November 2020 Bersamaan 19 Rabiulawal 1442 Hijrah – “Anugerah yang disampaikan pada hari ini adalah merupakan salah satu bentuk nikmat yang pada zahirnya merupakan pemberian dan penghargaan Majlis kepada kakitangannya yang telah berusaha dengan cemerlang mengikut keupayaan diri masing-masing,” ucapan Yang Amat Mulia Tengku Panglima Raja Leftenan Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Khidmat Setia 2019 Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang.

Yang Amat Mulia Tengku Panglima Raja selaku Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang berkenan hadir ke majlis yang diadakan pada hari ini bertempat di Dewan Syarahan, KISHAS bagi bersama-sama meraikan 20 orang kakitangan MUIP yang menerima anugerah.

Hadir sama, Yang Hormat Setiausaha MUIP, Dato’ Ahmad Hairi bin Haji Hussain, Yang Berbahagia Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan dan Dasar), Encik Khairuddin bin Ismail dan Yang Berusaha Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi), Dr. Asmadi bin Abdul Rahman.

Penganugerah ini merupakan satu penghargaan dan pengiktirafan kepada warga Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang atas sumbangan dan kecemerlangan sepanjang tahun 2019 dalam melaksanakan tugas-tugas yang dipertanggungjawabkan kepada mereka.

“Sentiasa melaksanakan tugas dengan cemerlang. Setiap warga Majlis mestilah mencontohi sifat-sifat Nabi SAW iaitu bersifat siddiq, amanah, tabligh dan fatanah.
“Bertanggungjawab dalam melaksanakan tugasnya bagi memenuhi keperluan asnaf-asnaf. Sentiasa fokus dalam kerja supaya dapat bertindak dengan cepat dan cekap dalam membuat suatu keputusan,” ucapan Yang Amat Mulia Tengku Panglima Raja.

Yang Amat Mulia Tengku Panglima Raja turut menzahirkan junjung kasih kepada paduka ayahanda, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Agama Islam di negeri Pahang kerana memberi kepercayaan dengan melantiknya sebagai Timbalan Yang Dipertua MUIP.

“Saya akan membantu bagi menaikkan nama Majlis dengan pengetahuan dan pengalaman yang saya ada. Kerjasama daripada kakitangan bagi memastikan perjalanan Majlis ditadbir dan diurus dengan baik supaya visinya dapat direalisasikan.

Sebagai sebuah institusi yang membawa nama Islam, Yang Amat Mulia Tengku Panglima Raja mengingatkan kakitangan agar menjaga imej supaya tidak memberi perspektif negatif kepada masyarakat umum. Juga menggalakkan budaya inovasi, supaya Majlis dapat kekal berdaya saing dalam dunia yang sentiasa mengalami perubahan.

Wartawan : Safura
Foto : Asyraf

Berita Berkaitan

Skip to content