USAHAWAN ASNAF PAHANG

Latar Belakang

Pemerkasaaan golongan asnaf dilaksanakan menerusi pelbagai bantuan dan aktiviti yang dirancang secara berterusan bagi memastikan setiap asnaf mampu berdikari seterusnya membina potensi diri untuk keluar daripada kepompong kemiskinan. Golongan asnaf fakir miskin khususnya penerima bantuan bulanan menjadi golongan sasar untuk dibantu dan dibimbing ke arah hidup berdikari bagi tujuan menjana pendapatan diri dan keluarga seterusnya terkeluar daripada golongan miskin dan penerima bantuan zakat.

Justeru itu, menerusi program pembangunan asnaf ini yang akan merancang melaksanakan aktiviti penjanaan ekonomi kepada penerima-penerima bantuan dan juga anak-anak asnaf. Antara aktivitinya adalah kursus dan latihan menjana pendapatan yang melibatkan penerima bantuan bulanan dan lain-lain bantuan. Kursus dan latihan ini melibatkan agensi kemahiran dan latihan sepertia GIATMARA, Kolej Komuniti, Akademi Perikanan Malaysia, Akademi Pembinaan Malaysia, MARDI, Kolej Yayasan Pahang dan lain-lain agensi swasta. Selain itu juga, turut melaksanakan memorandum persefahaman (MoU) dengan pihak GIATMARA dan TEKUN Nasional bagi membantu golongan asnaf ini ke arah menjadi usahawan yang berjaya.

Penubuhan sebuah Pusat Latihan Jahitan dengan kelengkapan peralatan memberi kemudahan yang selesa bagi menjalankan kursus berkaitan jahitan. Hal ini berikutan bidang jahitan merupakan bidang yang mudah untuk menjana pendapatan sama ada di rumah atau premis kedai. Ia juga adalah merupakan bidang yang diminati dan mudah diceburi terutama golongan wanita dalam pelbagai peringkat usia. Pemberian bantuan modal dan peralatan kepada golongan asnaf supaya golongan ini berdikari dan menjadi usahawan dalam pelbagai bidang.

Program Pembangunan Anak-anak Asnaf merupakan inisiatif bagi meningkatkan potensi anak-anak asnaf dalam bidang latihan kemahiran dan lapangan pendidikan. Mereka yang ditawarkan mengikuti beberapa kursus jaminan kerjaya dan latihan kemahiran untuk mendapat kemahiran serta pekerjaan bagi membantu meringankan beban perbelanjaan keluarga. Selain itu, dalam memastikan anak-anak asnaf cemerlang dalam bidang pendidikan, justeru diadakan kerjasama dengan Akademi Menara Gading Yayasan Sultan Abdullah bagi membimbing mereka sehingga ke menara gading seterusnya mendapat perkerjaan yang terbaik.