PENGENALAN

This image has an empty alt attribute; its file name is Surah-At-Taubah-103.png
“Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah, supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk), dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka, dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar Lagi Maha Mengetahui.”
Surah At-Taubah (ayat 103)
This image has an empty alt attribute; its file name is Surah-An-Nur-56.png
“Dan dirikanlah kamu akan sembahyang serta keluarkanlah zakat dan taatlah kepada Rasul supaya kamu beroleh rahmat”
Surah An-Nur (ayat 56)
This image has an empty alt attribute; its file name is Surah-Al-Baqarah-83.png
“Dan (ingatlah wahai Muhammad), Ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan Bani Israil (dengan berfirman): Janganlah kamu menyembah melainkan ALLAH, dan berbuat baiklah kepada kedua ibu-bapa, dan kaum kerabat dan anak-anak yatim, serta orang miskin; dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik; dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat. Kemudian kamu berpaling membelakangkan (perjanjian setia kamu itu) kecuali sebahagian kecil daripada kamu dan sememangnya kamu orang yang tidak menghiraukan perjanjian setianya.”
Surah Al-Baqarah (ayat 83)

Dari ayat-ayat di atas, amat jelas tentang kewajipan berzakat dan sesiapa yang mengingkari atau meragui kefarduannya, maka ianya terkeluar dari agama Islam. Sejarah telah membuktikan bahawa Khalifah Abu Bakar telah memerangi orang-orang yang mengingkari membayar zakat. Mereka yang kaya dan berada juga harus menyedari bahawa wujudnya hak orang-orang fakir dan miskin di dalam harta yang mereka miliki.

ZAKAT

RUKUN ZAKAT
SYARAT SAH MENUNAIKAN ZAKAT
SYARAT WAJIB MENUNAIKAN ZAKAT
UNDANG-UNDANG BERKAITAN ZAKAT
HUBUNGI KAMI

RUKUN ZAKAT

Mengeluarkan sebahagian daripada harta yang mencukupi nisab dengan menamatkan kuasa pemilik ke atasnya dan memberi milik kepada orang miskin (fakir) serta menyerahkan kepadanya ataupun diserahkan kepada orang yang mewakilinya iaitu (pemerintah) ataupun pengutip zakat (al-jabi).

SYARAT SAH MENUNAIKAN ZAKAT

1. Niat
2. Memberi Milik (At-Tamlik) – Untuk sahnya pemberian zakat disyaratkan “memberi milik”, iaitu dengan cara diberi kepada orang yang berhak. Oleh itu tidak memadai (tidak sah) setakat memberi guna (ibahah) atau setakat memberi makan tetapi ia mestilah dengan cara memberi milik.

SYARAT WAJIB MENUNAIKAN ZAKAT

1. Islam – Mengeluarkan zakat adalah ibadah di sisi Allah SWT. Tidak wajib zakat ke atas
harta orang kafir.
2. Merdeka (Bukan hamba) – Bebas mencari rezeki yang halal dan tidak dihalangi oleh sesiapa.
3. Milik sempurna – Harta mestilah dimiliki sepenuhnya dan dapat digunakan pada masa yang dikehendaki tanpa terikat dengan kebenaran dari orang lain. Sempurna dari segi pemilikan (hak hiyazah) dan keupayaan mengurus (hak tasarruf).
4. Cukup Nisab – Nisab ialah kadar minima yang ditetapkan syarak untuk mewajibkan zakat. Sesetengah harta yang hendak dizakatkan mestilah bersamaan atau lebih nilainya dengan nilai 85 gram emas mengikut harga semasa seperti zakat emas, pendapatan, wang simpanan dan saham. Manakala, sesetengah harta yang lain
menggunakan kadar nisab yang tersendiri seperti zakat ternakan, tanaman dan rikaz dan perak.
5. Cukup haul – Haul ialah berlalu tempoh setahun (12 bulan) harta dimiliki. Perkiraan haul dalam hukum syarak adalah berdasarkan kepada tarikh hijriiah (354/355 hari). Apabila genap setahun harta dimiliki, barulah diwajibkan zakat.

PERUNTUKAN UNDANG-UNDANG BERKAITAN DENGAN TAKSIRAN DAN PEMBAYARAN ZAKAT

ENAKMEN KESALAHAN JENAYAH SYARIAH 2013
I) Seksyen 24 – Enggan memberi taksiran pendapatan

“Mana-mana orang yang dikehendaki memberi penyata atau taksiran pendapatannya berhubung dengan zakat dan fi¬trah dalam tempoh yang ditentukan dengan sengaja enggan atau cuba mengelakkan diri daripada berbuat demikian dengan tiada sebab yang munasabah ataupun memberi penyata atau taksiran yang palsu melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi dua ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya”.

II) Seksyen 25(2) – Menghasut supaya mengabaikan kewajipan agama
“Mana-mana orang yang dengan apa-apa cara menghasut atau menghalang mana-mana orang Islam daripada membayar zakat atau fi¬trah melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi dua ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya”.

III) Seksyen 39 – Pembayaran zakat atau ¬fitrah kepada orang yang tidak diberi kuasa
“Mana-mana orang yang membayar atau menyebabkan supaya dibayar zakat atau fitrah kepada mana-mana orang yang tidak diberi kuasa secara sah untuk memungut zakat atau ¬fitrah melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi dua ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya”.

IV) Seksyen 40 – Tidak membayar zakat atau fitrah
“Mana-mana orang yang wajib membayar zakat atau fi¬trah tetapi –
a) enggan membayar atau dengan sengaja tidak membayar zakat atau ¬fitrah itu;
atau enggan membayar atau
b) dengan sengaja tidak membayar zakat atau fi¬trah itu melalui amil yang dilantik, atau mana-mana orang lain yang diberi kuasa, oleh Majlis untuk memungut zakat atau fi¬trah, melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi dua ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya”.

Pusat Kutipan Zakat Pahang

No 111A, Tingkat 1, Bangunan MUIP, Jalan Mahkota,
25000 Kuantan, Pahang Darul Makmur.
Tel : 09 – 5131515
Faks : 09 – 5157151
Email : info@zakatpahang.my

Waktu Berurusan :
Isnin hingga Jumaat : 8.00 pagi – 5.00 petang (Waktu Rehat 1.00 tengahari – 2.00 petang)
Jumaat : 8.00 pagi – 5.00 petang (Waktu Rehat 12.30 tengahari – 2.30 petang)
Sabtu & Ahad : Cuti

ZAKAT HARTA

Zakat yang dikenakan ke atas harta-harta tertentu dan boleh dibayar pada bila-bila masa. Kadar zakat harta ialah 2.5% dari jumlah harta.

ZAKAT PENDAPATAN
ZAKAT PERNIAGAAN
ZAKAT WANG SIMPANAN
ZAKAT EMAS DAN PERAK
ZAKAT PERTANIAN
ZAKAT TERNAKAN
ZAKAT SAHAM
ZAKAT RIKAZ DAN MA’ADIN
ZAKAT KWSP
ZAKAT ASB
QADA’ ZAKAT

ZAKAT PENDAPATAN

Harta perolehan atau di dalam bahasa Arabnya disebut Al-Mal al-Mustafad secara umumnya bermaksud apa jua usaha atau pekerjaan yang mendatangkan hasil kepada pengusahanya.

Kategori al-Mal al-Mustafad (Harta Perolehan)

1. Harta Pendapatan, Gaji dan Upah
Segala pendapatan yang diperoleh seseorang daripada majikannya hasil daripada usaha atau pekerjaan yang dilakukan untuk majikannya sama ada semasa berkhidmat, selepas berkhidmat atau selepas kematiannya (pencen terbitan).
Contoh; Gaji, Upah, Bonus, Pencen, Insentif, Gratuiti, Dan Lain-lain.

2. Harta Hasil Pekerjaan Bebas
Segala pendapatan yang diperoleh seseorang hasil daripada pekerjaan yang dilakukan atas usaha sendiri tanpa ada kaitan dengan pihak lain dalam bentuk kerja bebas atau perkhidmatan professional.
Contoh; Doktor, Peguam, Kontraktor, Komisen, Arkitek, Royalti Hakcipta, Dan Lain-lain.

3. Harta Hasil Aset Tetap
Harta yang tetap induknya tetapi boleh berkembang dengan mendatangkan pendapatan melalui sewaan atau jualan hasilnya.
Contoh; Hasil sewaan rumah, kenderaan, hasil ladang getah, hasil ladang sawit, hasil pertanian selain padi, hasil ternakan seperti telur, susu dan Lain-lain.

Kaedah Kiraan
Berdasarkan jumlah pendapatan kasar dari semua sumber pendapatan yang halal dalam setahun selepas dibuat tolakan Had Kifayah* seterusnya didarab dengan 2.5%.
*Had al-Kifayah secara umumnya adalah kadar (keupayaan ekonomi) yang selayaknya bagi menjamin kelangsungan kehidupan seorang individu serta mereka yang di dalam tanggungannya. Ia bukan sekadar penentuan had minimum semata-mata tetapi ia menjangkaui persoalan tahap yang selayaknya bagi memastikan kelangsungan kehidupan seseorang serta tanggungannya. Item Had Kifayah bagi negeri Pahang adalah seperti berikut :
1. Makanan
2. Pakaian
3. Rumah kediaman
4. Utiliti
5. Kesihatan
6. Pengangkutan
7. Pendidikan
8. Komunikasi
9. Saraan moden

ZAKAT PERNIAGAAN

Perniagaan atau dalam bahasa Arabnya Tijarah bermaksud jual dan beli untuk mendapatkan untung. Semua jenis perniagaan wajib ditaksir zakat selagi tidak bercanggah dengan hukum syarak sama ada perniagaan sendiri, perkongsian, berhad, koperasi atau lain-lain.

Dalam kes perkongsian, zakat dikenakan ke atas jumlah keseluruhan nilai harta (sum value) yang dimiliki oleh rakan kongsi. Nilai zakat yang dikenakan atas setiap rakan kongsi dikira mengikut nisbah modal yang disumbangkan oleh setiap individu yang menyertai perkongsian tersebut.

Perbahasan fiqh mengklasifikasikan sumber zakat perniagaan seperti berikut:
1. Perniagaan berasaskan barangan seperti kedai runcit, borong, pasaraya, industri dan lain-lain.
2. Perniagaan berasaskan perkhidmatan seperti bank, bengkel kereta dan lain-lain.

Syarat-syarat Tambahan

1. Harta dan perkhidmatan yang halal.
2. Harta yang produktif (al-nama’).
3. Sumber harta perniagaan.
4. Niat untuk diniagakan.
5. Harta perniagaan tidak digunakan untuk kegunaan sendiri.

Kaedah Kiraan

Bagi sesebuah perniagaan yang mempunyai penyata kewangan yang lengkap, pengiraan zakat adalah berpandukan ‘kunci kira-kira’ (statement of financial position).

1. Kaedah Modal Berkembang
Ekuiti pemilik (+) Liabiliti Jangka Panjang (–) Aset Tetap (–) Aset Bukan
Semasa (+/–) Pelarasan (=) Harta perniagaan yang diwajibkan zakat.

2. Kaedah Modal Kerja
Aset Semasa (–) Liabiliti Semasa (+/–) Pelarasan (=) Harta perniagaan
yang diwajibkan zakat.

*Bagi yang tidak mempunyai penyata kewangan yang lengkap, kaedah pengiraan zakat adalah seperti berikut;
1. Ada stok barang, contoh; kedai runcit, kedai buku, pasar raya – kaedah
seperti kaedah modal kerja
2. Tiada stok barang, contoh; kontraktor – (Terimaan Perniagaan –
Perbelanjaan Perniagaan = Keuntungan setahun x 2.5%

ZAKAT WANG SIMPANAN

Pada dasarnya wang simpanan bermaksud “wang yang disimpan di dalam akaun simpanan, akaun simpanan tetap, simpanan semasa, saham, saham amanah serta lain-lain bentuk simpanan”.

Antara Contoh Jenis-Jenis Wang Simpanan
1. Simpanan di institusi perbankan.
2. Simpanan berbentuk pelaburan di institusi kewangan seperti Amanah Saham, Tabung Haji, KWSP, LTAT dan seumpama dengannya.
3. Simpanan di rumah.

Kaedah Kiraan
1. Simpanan Tetap
Zakat 2.5% daripada keseluruhan simpanan tersebut.

2. Simpanan Biasa
Zakat 2.5% dari nilai terendah (cukup nisab) dalam tempoh setahun simpanan tersebut.

ZAKAT EMAS DAN PERAK

Emas
Emas yang diwajibkan zakat adalah dari jenis emas tulen sama ada dalam bentuk jongkong, bijih, wang, perkakas atau perhiasan rumah serta barang-barang kemas atau perhiasan seperti cincin, gelang, rantai dan seumpama dengannya.

Zakat Emas Terbahagi Kepada Dua Bahagian
1. Emas Pakai – Emas yag dipakai sebagai perhiasan walaupun hanya sekali dalam tempoh setahun (Hijriah).
2. Emas Simpan – Emas yang tidak digunakan atau dipakai walaupun sekali dalam tempoh setahun (Hijriah).
*Bagi emas yang bercampur dengan perkara yang lain seperti batu permata dan seumpama denganya atau emas putih akan dikira zakatnya mengikut peratusan emas tulen sahaja.

Kaedah Kiraan

1. Emas pakai wajib dikeluarkan zakat sekiranya berat emas tersebut melebihi uruf
(nilai kebiasaan pemakaian setempat). Kadar uruf bagi negeri Pahang ialah 500
gram. Kadar zakatnya adalah 2.5% dari jumlah keseluruhan nilai emas tersebut.

2. Emas simpan wajib dikeluarkan zakat sekiranya berat emas tersebut menyamai
atau melebihi 85 gram/25 mayam. Kadar zakatnya ialah 2.5% atas nilai
keseluruhan emas tersebut.

Perak
Perak yang diwajibkan zakat adalah dari jenis perak tulen sama ada dalam bentuk jongkong, bijih, wang, perkakas atau perhiasan rumah serta barang-barang kemas atau perhiasan seperti cincin, gelang, rantai dan seumpama dengannya.

Kaedah Kiraan
Perak wajib dikeluarkan zakat apabila beratnya menyamai atau melebihi 595 gram/176 mayam. Kadar zakatnya adalah sebanyak 2.5% daripada nilai keseluruhan perak tersebut.

ZAKAT PERTANIAN

Tanaman dan buah-buahan yang wajib zakat hanyalah yang menjadi makanan asasi manusia (yang mengenyangkan) dalam keadaan biasa dan ia boleh disimpan dan tidak rosak.

Antara jenis-jenis tanaman dan buah-buahan ialah kurma, anggur kering, gandum, barli, beras atau padi dan sebagainya. Makanan yang dimakan sewaktu musim susah dan kemarau tidak boleh dianggap sebagai makanan asasi. Bagi negara Malaysia, zakat tanaman ini hanya dikhususkan kepada tanaman padi.

Syarat Tambahan
Hasil tanaman yang ditanam oleh manusia bukanya yang tumbuh sendiri.

Kaedah Kiraan
1. Dikenakan zakat sekiranya hasil tanaman itu menyamai atau melebihi 1000 kg atau 400 gantang Baghdad (5 ausuq).
2. Tanaman yang menggunakan tenaga manusia atau selainnya seperti binatang dan jentera atau dengan perbelanjaan yang banyak, maka zakatnya ialah 5% atau 1/20.
3. Bagi tanaman yang menggunakan aliran hujan atau aliran air secara semula jadi, maka zakatnya ialah 10% atau 1/10.

ZAKAT TERNAKAN

Zakat yang dikenakan ke atas binatang-binatang yang diternak daripada jenis lembu, kerbau, kambing, biri-biri dan unta apabila sempurna syarat-syaratnya.

Syarat Tambahan
Hendaklah ianya saimah iaitu dipelihara di padang terbuka pada kebanyakan masa di mana kehidupan dan kesihatannya hanya bergantung kepada pemakanannya di tempat terbuka itu.

Kaedah Kiraan
Zakat yang perlu dikeluarkan apabila bilangan ternakan melebihi kadar nisab seperti berikut :

1. Lembu/Kerbau : mencukupi 30 ekor atau lebih
2. Kambing/Biri-biri : mencukupi 40 ekor atau lebih
3. Unta : mencukupi 5 ekor atau lebih

ZAKAT SAHAM

Zakat yang dikeluarkan ke atas perlaburan saham yang telah genap setahun (haulnya) dan cukup nisabnya.

Syarat tambahan
Pelaburan yang halal dan menepati syarak.

Kaedah Kiraan

1. Saham berbentuk simpanan – Zakat dikenakan sebanyak 2.5% atas harga terendah dalam tempoh setahun.
Cara pengiraannya adalah sama seperti kaedah pengiraan zakat wang simpanan.
Dapatkan jumlah nilai terendah dalam tempoh setahun, jika menyamai atau
melebihi nisab darab dengan kadar zakat 2.5%.

2. Zakat berbentuk jual beli (trading) – Zakat dikenakan sebanyak 2.5% atas nilai saham pada akhir tahun/tarikh cukup haul.
Contoh:
1 lot = 1,000 unit
Harga beli 1 Januari 2013 = RM10.00 seunit
(1 Lot = 1,000 unit x RM10 = RM10,000)
Harga pada tarikh cukup haul = RM9.00 seunit
(20 Disember 2013) (1 Lot = 1,000 unit x RM9 = RM9,000)
Zakat yang dikenakan = RM9,000 x 2.5% = RM225.00


ZAKAT RIKAZ DAN MA’ADIN

Secara asasnya zakat galian atau dikenali sebagai rikaz dan ma’adin adalah dari emas dan perak yang dijumpai oleh manusia dari perut bumi.

Pembahagian Zakat

Rikaz

Segala harta benda (emas dan perak atau seumpamanya) yang tersimpan di dalam bumi dan mempunyai tanda-tanda bahawa ia tersimpan sebelum kedatangan Islam sebagai contoh : harta karun

Ma’adin
Hasil galian yang diperolehi dari perut bumi sama ada beku atau cair diproses dan menghasilkan logam galian atau dalam bentuknya sebagai contoh emas, perak, bijih besi dan lain-lain.

Syarat Tambahan
Tidak disyaratkan haul bahkan zakat wajib dikeluarkan segera selepas diperoleh secara mencukupi nisab.

Kaedah Kiraan
1. Wajib dikeluarkan zakat rikaz dengan kadar 20% atas harta tersimpan atau harta karun yang dijumpai jika melebihi kadar wang sebanyak 85gram emas.
2. Wajib dikeluarkan zakat ma’adin bila terjumpa atau dijumpa. Tidak ada tempoh waktu (haul). Harta ini perlu menemui dengan kadar wang sebanyak 85 gram emas atau 595 gram perak dengan kadar zakat adalah 2.5% dari jumlah keseluruhan harta tersebut.

ZAKAT KWSP

Wang KWSP diwajibkan zakat serta-merta apabila pencarum mengeluarkan wang tersebut (sama ada ketika bersara, membeli rumah dan sebagainya) dan jumlah pengeluaran tersebut mencapai atau melebihi nisab. Permulaan tarikh haul diambil kira apabila cukup nisab dari jumlah simpanan yang dicarum.

Nisab dan Kadar Zakat
Nisab zakat KWSP sama seperti nisab zakat wang yang lain iaitu 85 gram emas. Kadarnya ialah 2.5% daripada jumlah simpanan yang dibenarkan untuk pengeluaran.

Kaedah Kiraan
1. Simpanan Syariah
Jumlah pengeluaran KWSP yang wajib dizakatkan adalah keseluruhannya.
Pokok + Dividen, tanpa perlu diasingkan (tidak perlu pembersihan)
pulangan dividen atau bonus yang tidak patuh syariah.

Contohnya :
Amaun Asal Simpanan : RM100,000.00
Perolehan Dividen (10%) : RM10,000.00
RM110,000.00 x 2.5% = RM2,750.00 sahaja

2. Simpanan Bukan Syariah
Jumlah pengeluaran KWSP yang wajib dizakatkan adalah Pokok + Dividen Patuh Syariah (iaitu 50% daripada jumlah keseluruhan dividen yang diperolehi).

Contohnya :
Amaun Asal Simpanan : RM100,000.00
Perolehan Dividen (10%) : RM10,000.00
50% dari RM10,000 = RM5,000 (Patuh Shariah)
50% dari RM10,000 = RM5,000 (Tidak Patuh Syariah)
Kiraan zakat yang diambil kira adalah:
RM100,000 + RM5,000 x 2.5% = RM2,625.00 sahaja

ZAKAT ASB

Pengiraan zakat ke atas pelaburan ASB/ASN hendaklah mengikut kaedah terkini, sesuai dengan keputusan Mesyuarat (KHAS) Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang 2014. Oleh itu, kaedah kiraan baharu adalah berdasarkan baki terendah yang sama atau melebihi nisab di dalam pelaburan yang mencukupi haul setahun.

Zakat yang diwajibkan adalah sebanyak 2.5% dari baki terendah tersebut tanpa perlu menolak dividen yang terkumpul. Memandangkan pelaburan ASN dan ASB adalah berbentuk simpanan, maka kiraannya perlulah dicampur dengan lain-lain simpanan sekiranya ada.

Contohnya :
MODAL PERSENDIRIAN
Baki Terendah X 2.5%
RM20,000 X 2.5%
= RM 500.00

PINJAMAN
1. Pinjaman Peribadi
Baki Terendah X 2.5%
RM20,000 X 2.5%
= RM 500.00

2. Pinjaman Ejen (melalui ejen yang dilantik oleh ASNB)
(Dividen Terkumpul – Dividen Tahun Semasa = Baki Dividen Terendah x 2.5%)
RM30,000 – RM5,000 = RM25,000 X 2.5%
= RM 625.00

*Nota : pelaburan melalui pinjaman peribadi hendaklah dikira sama seperti modal persendirian kerana mencukupi syarat milik sempurna.

QADA’ ZAKAT

Zakat membersihkan dan menyucikan harta. Ianya merupakan tuntutan Allah SWT kepada hamba-hambaNya yang telah mencapai syarat-syarat.

Zakat harta terbahagi kepada beberapa jenis, iaitu :
1. Zakat Emas dan Perak
2. Zakat Tanaman Padi
3. Zakat Ternakan
4. Zakat Perniagaan
5. Zakat Ma’adin dan Rikaz
6. Zakat Wang Simpanan
7. Zakat Saham
8. Zakat Pendapatan

Jika individu atau syarikat yang mencukupi syarat wajib menunaikan zakat, layak menunaikan zakat pada tahun-tahun yang lalu dan belum melunaskan semua zakat yang wajib bagi tahun yang lalu, maka zakat itu wajib diqada’.

Qada’ dalam konteks ibadah ialah setiap amalan fardu (seperti puasa, solat dan zakat) yang ditinggalkan wajib diqada’ sama ada disebabkan lupa, sengaja meninggalkannya atau orang murtad yang kembali semula kepada Islam setelah murtad.

Daripada segi istilah fuqaha, qada’ ialah sesuatu (ibadah) yang dilakukan selepas berlalu waktu tunainya untuk mendapatkan sebagaimana yang sebelumnya dengan melakukannya secara qada’ atau mengerjakan semula ibadat-ibadat yang tidak sah atau yang tertinggal atau sengaja ditinggalkan pada waktu-waktu yang lain.

Qada’ zakat bermaksud, menunaikan zakat yang wajib ditunaikan pada masa yang telah lalu; namun gagal ditunaikan oleh kerana lupa, sengaja meninggalkanya atau atas apa-apa alasan lain sehingga berlalu haulnya (setahun), maka ia wajib ditunaikan segera.

Hukum
Hukum qada’ zakat adalah wajib dan berdosa jika sengaja diabaikan. Hal ini telah dijelaskan oleh Imam Hambali dan Imam Syafie:
“Ketika penunaian zakat itu dapat dilakukan dengan segera, maka orang yang mengakhirkan penunaiannya dianggap ceroboh (kepada kewajipan berzakat), sehingga dia mesti bertanggung jawab terhadap pencerobohan yang dilakukan.”
Rujuk Al-Mughni, Jilid 2, halaman 686 dan Al-Majmu’, Jilid 5, halaman 302

Hikmah Qada’ Zakat
1. Membersihkan harta yang masih belum dibayar zakatnya daripada bercampur dengan harta yang telah dibayar zakat.
2. Menunaikan hak-hak Allah SWT ke atas harta tersebut.
3. Memberi ketenangan dan ketenteraman jiwa kepada si pembayar zakat kerana telah suci hartanya daripada hak-hak orang lain.
4. Menghindari dari membebani waris yang ditinggalkan apabila berlaku kematian, memandangan harta yang belum dizakatkan menjadi satu kewajipan pula kepada waris untuk ditunaikan
5. Mengelakkan waris memakan harta yang haram, iaitu apabila waris gagal mengenalpasti harta yang belum dizakatkan dan mereka membahagikannya pula sebagai pusaka. Ia juga menjadi jaminan mendapat pahala dan habuan syurga daripada Allah SWT serta menjauhkan diri daripada dosa kerana kelalaian diri sendiri di dunia.

Cara Menunaikan
1. Qada’ zakat adalah berdasarkan kepada nisab ketika haul yang terdahulu.
2. Pembayaran qada’ zakat ini boleh dibuat secara ansuran atau mengikut kemampuan.
3. Pembayaran zakat ini juga boleh dibuat sama ada dengan mengunjungi cawangan zakat di seluruh Pahang atau kaedah lain iaitu membuat pembayaran melalui potongan gaji, ejen bank, internet dan lain-lain kaedah yang disediakan oleh PKZP.
“Sesungguhnya berjayalah orang yang (setelah menerima peringatan itu) berusaha membersihkan dirinya.” – Surah al-A’la 87:14

ZAKAT FITRAH

Zakat diri yang difardukan ke atas setiap individu lelaki dan perempuan muslim yang berkemampuan dengan syarat-syarat yang ditetapkan.

SYARAT WAJIB
KAEDAH PEMBAYARAN
KADAR
WAKTU

Syarat Wajib Zakat Fitrah

Orang Islam yang wajib mengeluarkan zakat fitrah untuk diri dan keluarga atau tanggungannya ialah:

1. Individu yang mempunyai lebihan makanan atau hartanya dari keperluan tanggungannya pada malam dan pagi hari raya.
2. Anak yang lahir sebelum matahari jatuh pada akhir bulan Ramadan dan hidup selepas terbenam matahari.
3. Memeluk Islam sebelum terbenam matahari pada akhir bulan Ramadan dan berkekalan Islamnya.
4. Seseorang yang meninggal selepas terbenam matahari akhir Ramadan.

Kaedah Pembayaran Zakat Fitrah

Kaedah pembayaran zakat fitrah yang ditentukan ialah makanan asasi daripada jenis yang mengenyangkan. Perkara ini dijelaskan melalui hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Said al-Khudry bermaksud:

“…Adalah kami para sahabat ketika bersama Rasulullah SAW sering mengeluarkan zakat fitrah daripada setiap orang yang kecil dan besar, merdeka atau hamba satu gantang makanan atau satu gantang keju atau satu gantang Syair atau satu gantang tamar atau satu gantang zabib. Demikianlah kami terus berbuat demikian sehingga datang kepada kami oleh Muawiyah Abi Sufian bagi mengerjakan amal ibadat haji atau umrah, kemudian beliau menyampaikan ucapannya di atas mimbar, maka dalam ucapannya kepada orang ramai beliau berkata: Saya berpendapat, bahawa satu mud (cupak) gandum Sham menyamai satu Sha’ (gantang) tamar. Setelah itu, masyarakat pun berbuat demikian sedangkan Abu Sufian berkata: aku tetap mengeluarkannya sebagaimana mulanya” – Riwayat Muslim

Kadar Zakat Fitrah

Satu gantang Baghdad bersamaan 2.70 kg beras atau senilai dengannya. Kadar ini berdasarkan ketentuan oleh Pihak Berkuasa Agama Negeri-Negeri.

Waktu Menunaikan Zakat Fitrah

1. Waktu Wajib – Apabila terbenam matahari akhir Ramadan sehingga terbit matahari satu Syawal.
2. Waktu Afdal – Sebelum sembahyang Hari Raya
3. Waktu Sunat – Sepanjang bulan Ramadan
4. Waktu Makruh – Selepas sembahyang hari raya sehingga terbenam matahari satu Syawal.
5. Waktu Haram – Selepas terbenam matahari satu Syawal.