PENGENALAN BANTUAN ZAKAT

RUJUKAN KETETAPAN AGIHAN ZAKAT

Skop agihan zakat Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang adalah berdasarkan yang telah ditetapkan oleh syara’. Asnaf tersebut seperti mana yang dijelaskan dalam Firman Allah S.W.T:

“Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanya untuk orang-orang fakir dan orang-orang miskin dan amil-amil dan muallaf yang dijinakkan hati-hati mereka dan hamba-hamba yang hendak memerdekakan dan orang-orang berhutang dan untuk (dibelanjakan pada jalan Allah dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan”.
Surah At-Taubah ayat 60

Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:

“Daripada Zaid Al-Haris Al-Suddai berkata: Aku telah datang menemui Rasullulah SAW maka aku berbaiah kepadanya. kemudian datang seorang lelaki dan berkata : berikan kepadaku sebahagian daripada zakat. Maka Rasullulah SAW bersabda : Allah tidak meredhai keputusan nabi dan manusia lain dalam pembahagian zakat sehingga dia sendiri menentukan keputusanya, maka dia telah membahagikan zakat kepada lapan asnaf, sekiranya kamu termasuk dalam golongan tersebut aku akan berikan hak kamu “

(Hadis Riwayat Abu Daud)

OBJEKTIF AGIHAN ZAKAT

1. Sebagai sumber membantu membangunkan ekonomi ummah
2. Meningkatkan dan memajukan taraf hidup Asnaf Zakat dari setiap aspek kehidupan
3. Memelihara maruah dan kesucian Agama Islam
4. Memelihara hak dan tanggungjawab kepada Asnaf Zakat
5. Memangkin perkembangan dakwah Islam

PRINSIP AGIHAN ZAKAT

Bagi melaksanakan agihan zakat kepada asnaf yang berhak, prinsip-prinsip yang perlu ditepati adalah sebagaimana berikut:

Al-Isti’ab (menyeluruh)
Zakat wajib diagihkan kepada asnaf yang berhak

  1. Muqaddam iaitu

(1) Fakir (2) Miskin (3) Amil (4) Muallaf

2. Muakhkhar (kemudian) iaitu

Al-Riqab (6) Al-Gharimin (7) Fi Sabilillah (8) Ibnu Sabil

Al-Khususiyyah (ketetapan/khusus)
Zakat hanya boleh diagihkan kepada lapan asnaf yang disebut Allah S.W.T di dalam surah At-Taubah ayat 60.

Tiada Ijtihad lagi dalam menentukan asnaf yang layak menerima zakat kecuali pada perkara yang berkaitan perlaksanaan agihan kepada asnaf. Sebarang ”Qias” yang hendak dibuat mestilah tidak keluar daripada asnaf yang lapan.

Al-Hak (hak)
Zakat mesti disalurkan kepada asnaf. Prosedur agihan wajar dibuat bagi melicinkan proses agihan tetapi tidak boleh sehingga menafikan hak asnaf. Wang zakat diagih mengikut keperluan semasa asnaf.

Ar-Raqaabah (pengawasan)
Semua agihan zakat hendaklah dilakukan dengan pengawasan dan kawalan rapi. Sebarang pengagihan zakat yang meragukan perlu dirujuk kepada Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Pahang. Setiap peringkat kelulusan dan keputusan hendaklah dibuat dengan sifat amanah,bertaqwa dan bertanggungjawab.

Haddul Kifayah (mencukupi keperluan hidup)
Menepati keperluan asasi sebenar dan dibenarkan syarak. Penentuan kelayakan adalah berdasarkan had kifayah sesuatu kawasan.

Fauran (segera/serta merta)
Agihan dilakukan dengan serta merta selepas dikenalpasti layak menerima zakat. Kakitangan yang melakukan tugas pengagihan hendaklah melaksanakan dengan bertanggungjawab.

ASNAF ZAKAT

ASNAF FAKIR
ASNAF MISKIN
ASNAF AMIL
ASNAF MUALLAF
ASNAF AR-RIQAB
ASNAF AL-GHARIMIN
ASNAF FISABILILLAH
ASNAF IBNU SABIL

ASNAF FAKIR
Orang Islam yang tidak mempunyai harta atau pekerjaan atau ada pekerjaan tetapi tidak halal atau ada pendapatan tetapi tidak mencapai 50% daripada had kifayah untuk keperluan diri atau keperluan tanggungannya.
Kriteria
Iaitu perkara 1 dan mana-mana kriteria berikut :
1. Beragama Islam dan bermastautin di Negeri Pahang.
2. Mempunyai pekerjaan yang tidak halal dan berusaha mencari pekerjaan yang
halal.
3. Ada pendapatan tetapi tidak mencapai 50% had kifayah.
4. Hilang keupayaan diri untuk bekerja dan menyara kehidupan diri dan
tanggungan.
5. Wanita atau anak-anak yang hilang tempat bergantung atau teraniaya.
6. Tua/uzur/hidup sebatang kara/cacat yang tiada upaya untuk menyara hidup
dan tiada tempat bergantung.
7. Pesakit kronik yang memerlukan kos perubatan yang tinggi atau sakit kronik
yang berpanjangan setelah diperakukan oleh doktor dan tiada sumber
pendapatan yang mencukupi.
8. Mendapat bantuan daripada mana-mana pihak tetapi tidak mencukupi 50%
had kifayah.
Konsep Agihan
1. Memajukan dan mengeluarkan fakir daripada kategori Asnaf Fakir.
2. Menampung keperluan asasi sehingga mencukupi had kifayah.
3. Pengagihan dibuat dalam bentuk bantuan kewangan/barangan atau manfaat.
4. Menjalankan dan memajukan usaha pengembangan ekonomi dan
kebajikan/berdikari.
5. Membantu pendidikan anak-anak fakir.
6. Membantu sebarang usaha meningkatkan taraf hidup dan juga pendidikan.
7. Membantu kefakiran sementara dan mendesak.
8. Membangunkan nilai kerohanian asnaf.
9. Agihan semata-mata untuk usaha yang boleh membangunkan asnaf.

ASNAF MISKIN
Orang Islam yang mempunyai harta atau pendapatan halal yang hanya boleh menampung 50% daripada keperluan diri dan tanggungan tetapi tidak mencapai had kifayah.
Kriteria
Iaitu perkara 1 dan mana-mana kriteria berikut:
1. Beragama Islam dan bermastautin di Negeri Pahang.
2. Ada harta tetapi hasil tidak mencukupi keperluan diri dan tanggungan.
3. Mempunyai pendapatan halal yang boleh menampung 50% keperluan diri
dan tanggungan tetapi tidak mencapai had kifayah.
4. Mendapat bantuan daripada mana-mana pihak tetapi tidak mencapai had
kifayah.
5. Wanita atau anak-anak yang hilang tempat bergantung atau teraniaya.
6. Cacat atau sakit kronik yang berupaya menyara kehidupan tetapi tidak
mencukupi had kifayah.
7. Ada harta yang boleh menampung keperluan asasi dan boleh dimanfaatkan
tetapi masih tidak mencukupi.
8. Ditimpa bencana yang menyebabkan hilang tempat perlindungan dan
terdesak bagi mencari keperluan diri dan tanggungan.
KONSEP AGIHAN
1. Meningkatkan taraf hidup dan mengeluarkan orang miskin daripada kategori
asnaf.
2. Menampung keperluan asasi sehingga mencukupi.
3. Pengagihan dibuat dalam bentuk bantuan kewangan/barangan atau manfaat.
4. Menjalan dan memajukan usaha-usaha pengembangan ekonomi/menjana
dan berdikari.
5. Membantu pendidikan anak-anak miskin.
6. Membantu sebarang usaha untuk meningkatkan taraf hidup.
7. Membantu kemiskinan sementara yang memerlukan dan mendesak.
8. Membangunkan nilai kerohanian asnaf.
9. Agihan semata-mata untuk usaha yang boleh membangunkan asnaf.

ASNAF AMIL
Orang Islam atau institusi yang dilantik oleh Majlis bagi mewakili KDYMM Sultan untuk menjalankan tugas-tugas pemungutan dan pengagihan zakat secara khusus.
Kriteria
1. Orang Islam yang mukallaf atau institusi zakat yang diiktiraf/dilantik.
2. Adil (tidak melakukan dosa besar, tidak berterusan perlakuan dosa kecil dan tidak melakukan perkara yang menjatuhkan maruah atau kepercayaan umat Islam terhadap mereka).
3. Berperibadi mulia, mesra dan boleh dipercayai.
4. Amanah terutama terhadap harta zakat.
5. Mendapat ganjaran(al-ujrah) hanya daripada zakat(bahagian amil).
6. Menjalanakan tugas sebagai amil pungutan dan agihan.
7. Lelaki atau perempuan yang terpelihara akhlak.
8. Tidak cacat pancaindera yang boleh menjejaskan tugas sebagai amil.
Konsep Agihan
1. Ganjaran yang diberikan adalah berdasarkan kerja yang dilakukan.
2. Ganjaran yang diberi berdasarkan keperluan dalam pengurusan institusi amil
termasuk pengurusan sumber manusia, pentadbiran, pemasaran, operasi,
penyelidikan dan pembangunan sistem teknologi maklumat dana prasarana.

ASNAF MUALLAF
Orang yang baru memeluk Islam yang diharapkan dengan pemberian agihan ini boleh menguatkan imannya dan/atau pemimpin bukan Islam yang berpengaruh yang berjinak-jinak dengan Islam.
Kriteria
Iaitu perkara 1 dan mana-mana kriteria berikut :
1. Bermastautin di Negeri Pahang.
2. Disahkan memeluk Islam dan didaftarkan pengislamannya oleh Majlis atau mana-mana institusi yang diiktiraf.
3. Ketua orang bukan Islam yang berpengaruh dan berjinak-jinak dengan Islam dan diharapkan dengan pemberian zakat akan menarik beliau kepada Islam dan
mempengaruhi masyarakatnya kepada Islam.
4. Saudara baru dan tanggungannya yang masih memerlukan bimbingan dan
perlindungan.
5. Orang bukan Islam yang yang cenderung kepada Islam dan diharapkan dengan
pemberian bantuan dapat melembutkan hatinya menerima Islam.
Konsep Agihan
1. Menguatkan akidah dan menambahkan pengetahuan muallaf kepada Islam.
2. Memelihara keselamatan muallaf daripada ancaman musuh atau suasana yang boleh melemahkan keislamannya.
3. Pengagihan dilakukan dalam tempoh bantuan yang ditetapkan dan juga
berdasarkan keputusan Majlis.
4. Pengagihan dibuat dalam bentuk bantuan kewangan/barangan atau manfaat.
5. Peruntukan sara hidup atau perlindungan yang berbentuk sementara sehingga
dipastikan boleh berdikari dan selamat akidahnya.
6. Sebarang usaha dalam memelihara dan meneguhkan akidahnya.
7. Peruntukan semata-mata untuk usaha yang boleh membangunkan asnaf.

ASNAF AR-RIQAB
Hamba Islam atau seseorang yang terbelenggu di bawah satu kuasa yang menghalang kebebasannya dirinya.
Kriteria
Iaitu perkara 1 dan mana-mana kriteria berikut :
1. Beragama Islam dan bermastautin di Negeri Pahang.
2. Tiada sumber kewangan yang cukup dan/atau tidak mendapat bantuan mana-mana sumber lain.
3. Seseorang yang disahkan ingin membebaskan dirinya dari belenggu yang
dihadapinya (seperti penagih dadah/ penagih dadah yang ingin kembali menjalani hidup normal/ bekas penagih dadah/ anak-anak yang terbelenggu dengan situasi keluarga yang rosak/ pelacur yang ingin membebaskan dirinya/ muslim yang terbelenggu dengan cara kehidupan yang bertentangan dengan Islam atau menjalani cara hidup jahiliah).
Konsep Agihan
1. Pemberian adalah berasaskan permohonan dan siasatan serta pengesahan.
2. Meringankan beban untuk keluar daripada keadaan yang sedia ada/gaya hidup
negatif.
3. Pemberian hanya kepada individu yang bersedia untuk menjalani pemulihan dan pemantauan yang diaturkan untuk mereka.
4 Usaha memulihkan aqidah dan akhlak muslim.
5. Peruntukan semata-mata untuk usaha yang boleh membangunkan asnaf.

ASNAF AL-GHARIMIN
Golongan yang berhutang termasuk penjamin untuk memenuhi keperluan asas diri, keluarga, tanggungannya atau masyarakat dan memerlukan penyelesaian segera dan dibenarkan oleh syarak.
Kriteria
Iaitu perkara 1 dan mana-mana kriteria berikut :
1. Beragama Islam dan bermastautin di Negeri Pahang.
2. Penghutang mestilah seorang yang tidak mempunyai sumber kewangan untuk menyelesaikan hutang.
3. Penghutang mestilah untuk keperluan asasi/ keperluan diri dan tanggungan atau perkara yang diperakui syarak sahaja.
4. Berhutang untuk membiayai rawatan kerana penyakit kronik dan tiada kemampuan dan pembiayaan.
5. Hutang-hutang yang mendesak yang tidak terancang (seperti yuran pengajian/bil-bil tertunggak kerana terpaksa mendahulukan keperluan yang lebih asas).
6. Penjamin hutang adalah orang yang teraniaya dan disenarai hitam.
7. Penjamin kepada seorang muslim.
8. Penjamin tiada sumber kewangan menjelaskan hutang.
9. Penjamin hutang bagi perkara yang dibenarkan syarak dan bukan dalam perkara yang berlebihan seperti menjalani kehidupan berlebihan. Berhutang bagi menyelesaikan masalahah ummah.
10. Berhutang bagi menyelesaikan masalah ummah.
11. Hutang bukan kerana sikap (seperti hutang bil-bil yang tertunggak kerana
kecuaian dan ambil mudah atau menjalani hidup berlebihan atau melebihi
keperluan).
Konsep Agihan
1. Bantuan berdasarkan keperluan sebenar setelah dibuat siasatan terhadap
kewangan penghutang.
2. Hutang hendaklah semata-mata dalam perkara yang diharuskan syarak serta tidak mempunyai sumber kewangan untuk menjelaskan hutang tersebut.
3. Bayaran terus kepada pemiutang berdasarkan bil atau sebarang keterangan bertulis yang pasti kesahihannya.
4. Bantuan boleh dibuat dalam bentuk Pinjaman Qardhul Hasan.
5. Peruntukan semata-mata untuk usaha yang boleh membangunkan asnaf.

ASNAF FISABILILLAH
Seseorang yang terlibat dalam perjuangan, usaha dan aktiviti yang bertujuan untuk menegakkan atau meninggikan agama Islam.
Kriteria
Iaitu mana-mana perkara berikut :
1. Orang beragama Islam atau institusi Islam atau ahlinya keseluruhannya.
2. Aktiviti yang dilakukan menuju ke arah amar makruf dan nahi munkar.
3. Aktiviti yang dilakukan mestilah dapat meningkatkan syiar Islam serta menjaga
maruah Islam dan pelaksanaannya hendaklah mengikut syariat Islam.
4. Usaha yang dilakukan hendaklah memberi pulangan kepada Islam.
5. Aktiviti yang dilakukan mestilah tidak menjurus atau cenderung kepada perkara-
perkara yang merugikan atau menjatuhkan imej Islam atau umat Islam.
6. Usaha yang dilakukan adalah berbentuk membasmi kejahilan dan meningkatkan kefahaman dan intelektual Islam.
7. Usaha membebaskan ummah daripada kongkongan ekonomi.
8. Penyediaan prasarana atau kemudahan kepada pengembangan ilmu/kefahaman Islam.
9. Usaha yang dilakukan mestilah dapat meningkatkan imej dan menjaga maruah
Islam dan mengikut awlawiyat.
Konsep Agihan
1. Memberi tumpuan dan keutamaan kepada usaha-usaha dakwah islamiah.
2. Membantu dan membiayai pembangunan asas institusi agama dengan syarat
dipercayai ada usaha terlebih dahulu untuk mendapatkan bantuan daripada pihak kerajaan.
3. Pembiayaan yang dipercayai boleh memberi pulangan yang baik kepada ummah.
4. Membantu usaha menyebarkan dan pengembangan ilmu Islam atau syiar atau
kefahaman Islam.
5. Berbentuk usaha menjaga kemaslahatan ummah atau menolak kemudharatan
kepada ummah.
6. Pengagihan boleh dibuat bagi tujuan mencegah asnaf daripada berlakungan
kemudharatan.
7. Peruntukan semata-mata untuk usaha yang boleh membangunkan asnaf.
8. Pembiayaan/sumbangan perlulah berdasarkan keperluan dan tidak berlebihan.

ASNAF IBNU SABIL
Musafir yang terputus bekalan (perbelanjaan) dalam perjalanan atau semasa memulakan perjalanan dari suatu tempat dan tujuannya yang diharuskan oleh syarak.
Kriteria
Iaitu perkara 1 dan mana-mana kriteria berikut :
1. Beragama Islam dan bermastautin di Negeri Pahang.
2. Tujuan musafir hendaklah tidak menyalahi hukum syarak.
3. Musafir yang terputus bekalan dalam perjalanan dan/atau tidak dapat manfaat
daripada hartanya untuk meneruskan perjalanan.
4. Anak pungut yang tidak mendapat pembelaan dan perlindungan.
Konsep Agihan
1. Membantu musafir hingga membolehkan mereka sampai ke destinasi.
2. Membantu musafir untuk kembali ke negeri/negara asalnya.
3. Membantu dari segi perlindungan, makan minum, keselamatan, serta tempat tinggal sementara.
4. Membantu menyelesaikan masalah dan memberi keperluan setakat yang
diperlukan.
5. Peruntukan semata-mata untuk usaha yang boleh membangunkan asnaf.