DANA WAKAF PAHANG

Latar Belakang
Konsep
Pembangunan Wakaf
Hikmah

LATAR BELAKANG DANA WAKAF PAHANG

Dana Wakaf Pahang yang mana sebelum ini dikenali sebagai Saham Wakaf Pahang dilancarkan oleh Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang pada Disember 1998.

Dana Wakaf Pahang yang tidak lagi menggunakan Sijil Saham Wakaf telah diperkenalkan oleh pihak Majlis mulai Jun 2015 mengikut Kaedah-Kaedah Dana Wakaf Pahang 2015. Nilai minimum bayaran Dana Wakaf Pahang ialah RM5.00 dan pengeluaran Kupon Dana Wakaf dibolehkan melalui Kaedah-Kaedah Dana Wakaf Pahang 2015.

Mewakafkan harta adalah satu amal jariah yang sangat dituntut oleh agama Islam. Ia merupakan suatu amal soleh yang mana pahalanya akan diberikan secara berterusan oleh Allah S.W.T kepada pewakaf selagi harta atau ain yang diwakafkan itu kekal atau dimanfaatkan.

KONSEP DANA WAKAF

Dana Wakaf Pahang adalah satu skim yang menggalakkan orang ramai menyumbangkan sedekah jariah (wakaf) untuk selama-lamanya kerana Allah S.W.T pada nilai minimum RM5.00 dengan tujuan demi kepentingan dan kebajikan umat Islam.

Sesiapa sahaja yang beragama Islam boleh menyertai skim ini. Skim Dana Wakaf ini, memudahkan umat Islam untuk mewakafkan harta. Sumbangan dana wakaf yang terkumpul akan disatukan dan dijadikan modal untuk membeli harta kekal seperti tanah, bangunan dan sebagainya.

PEMBANGUNAN WAKAF OLEH MAJLIS UGAMA ISLAM DAN ADAT RESAM MELAYU PAHANG

Aktiviti pembangunan yang telah dilaksanakan di atas tanah wakaf seluas 4.3 ekar oleh pihak Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang adalah Kompleks Asnaf bertempat di Kampung Pahang Jalan Sg.Soi Kuantan. Selain itu juga, Klinik Al-Amin juga telah ditubuhkan diperkarangan Masjid Negeri di Kuantan serta Kiosk Perniagaan.

Pihak Majlis juga telah membeli bangunan Apartment 11 tingkat untuk kegunaan sebagai Asrama Pelajar di Nasr City, Cairo, Mesir. Disamping itu, pihak Majlis telah bekerjasama dengan Yayasan Waqaf Malaysia dengan membina Kedai/Bazar Wakaf di perkarangan masjid yang terpilih di sekitar Negeri Pahang. Pihak Majlis juga didalam proses untuk mengenalpasti tanah wakaf yang berpotensi untuk dibangunkan di seluruh Negeri Pahang.

HIKMAH BERKAWAF

i. Sebagai salah satu cara untuk beribadah kepada Allah S.W.T & mendekatkan diri kepada Allah S.W.T.

ii. Mendapat kebajikan dan pahala yang berkekalan walaupun pewakaf meninggal dunia.

iii. Berkongsi manfaat dikalangan umat Islam dalam menyemarakkan syiar Islam.

iv. Meluaskan kebajikan kepada individu-individu yang memerlukan.

Sesungguhnya Allah S.W.T berfirman dalam Surah Al-Baqarah, ayat 261 yang bermaksud: “Bandingan (pahala) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah seperti sebiji benih yang tumbuh dan menerbitkan tujuh tangkai, tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah) Allah akan melipat gandakan pahala (ganjaran) bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui”.

SALURAN DANA WAKAF

  • PENDIDIKAN

  • PEMBELIAN HARTANAH / PEMBANGUNAN TANAH WAKAF SEDIA ADA

  • PEMBINAAN / PEMBAIKKAN BANGUNAN MASJID / SURAU / SEKOLAH AGAMA

  • PERUBATAN

  • AKTIVITI SOSIAL