SEMARAK JAWI

Semarak Jawi

“Peranan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Dalam Memartabatkan Tulisan Jawi di Negeri Pahang Darul Makmur” merupakan tajuk kertas kerja oleh mantan Timbalan Yang Dipertua MUIP, Yang DiHormat Orang Kaya Indera Pahlawan, Dato’ Sri Wan Haji Abdul Wahid bin Haji Wan Hassan. Kertas kerja ini membicarakan mengenai usaha-usaha dilakukan oleh pihak MUIP yang merupakan badan utama berusaha memartabatkan tulisan Jawi sebagai simbol dan warisan kebudayaan bangsa Melayu khususnya di negeri Pahang.

Tulisan Jawi adalah simbol dan warisan kebudayaan bangsa Melayu yang telah dipraktikkan sejak awal kurun ke-13 Masihi di Tanah Melayu . Perkara ini dibuktikan dengan kewujudan serta penemuan Batu Bersurat serta manuskrip-manuskrip Melayu purba . Tulisan Jawi lebih banyak dikaitkan dengan agama Islam kerana hampir keseluruhan huruf-huruf yang digunakan diambil daripada tulisan Arab yang merupakan bahasa kepada kitab suci al-Quran al-Karim. Menurut pengkaji tulisan Jawi, penciptaan tulisan Jawi berlaku dalam tradisi bahasa Melayu dalam wilayah budaya Melayu . Oleh itu ia memberi kesan yang amat besar kepada bahasa Melayu, bangsa Melayu malah kepada alam Melayu keseluruhannya. HassanAhmad menjelaskan seperti berikut:

“Tulisan Jawi dicipta oleh orang Melayu berdasarkan abjad Arab pada abad itu mengandungi hikmah yang luar biasa: dengan tulisan itulah bermulanya sejarah tamadun persuratan yang cukup meriah di rantau ini.”

Penciptaan sistem tulisan Jawi terbentuk oleh kesepaduan rangkaian
(a) Aksara Arab, bahasa Arab dan bangsa Arab. Ini kerana aksara Jawi hasil penyerapan langsung daripada aksara Arab;
(b) Bahasa Melayu dan bangsa Melayu, ini terjadi kerana tulisan Jawi dicipta oleh orang Melayu dalam tradisi bahasa Melayu. Pada masa yang sama orang Melayu juga menuturkan bahasa Melayu dan menggunakan tulisan Jawi sebagai alat berhubung di kalangan mereka, dan
(c) Agama Islam, ini terjadi kerana sistem tulisan Jawi menjadi media penyebaran Islam seterusnya mendominasi tradisi keilmuan Islam. Bukan itu sahaja bahkan tulisan Jawi adalah asas untuk mempelajari dan membaca al-Quran untuk kepentingan ibadah dalam Islam.

Usaha dan Peranan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Dalam Memartabatkan Tulisan Jawi

Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) merupakan sebuah badan yang bertanggungjawab dalam semua perkara yang berhubungan dengan Agama Islam dan Adat Resam Melayu di negeri Pahang. Hal ini bertepatan dengan peruntukan di dalam Seksyen 5 Enakmen Pentadbiran Undang-undang Islam 1991 yang berikut:

“Majlis hendaklah membantu dan menasihati Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan berkenaan dengan semua perkara yang berhubungan dengan agama Islam dan adat resam Melayu, kecuali perkara yang berkaitan dengan Hukum Syarak dan yang berhubungan dengan pentadbiran keadilan, setakat yang mengenai Negeri Pahang, dan dalam semua perkara tersebut hendaklah menjadi pihak berkuasa utama dalam Negeri Pahang selepas Kebawah Duli yang Maha Mulia Sultan kecuali jika diperuntukkan selainnya dalam Enakmen ini atau mana-mana Enakmen yang berhubungan dengan agama Islam”.

Selain itu, MUIP juga berperanan dalam usaha memartabatkan tulisan Jawi yang melambangkan jati diri orang Melayu dan agama Islam dalam kalangan masyarakat di negeri Pahang. Usaha untuk memartabatkan tulisan ini dimulai dengan penganjuran siri-siri bengkel dan seminar Jawi yang melibatkan institusi pendidikan di seluruh daerah di negeri Pahang.
Antara program yang telah dilaksanakan dalam memartabatkan tulisan Jawi adalah seperti berikut:

Menjadikan Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) Sebagai Pusat Pengembangan Jawi

MUIP dengan kerjasama KUIPSAS telah melaksanakan beberapa program pendedahan tulisan Jawi dan usaha ini juga telah mendapat perhatian KDYMM Sultan Pahang. Baginda dalam titahnya semasa Istiadat Pemasyhuran Canselor Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah pada 25 Februari 2016 yang lalu telah menekankan dan meminta KUIPSAS untuk turut sama bersama MUIP dalam memperkasakan tulisan Jawi. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang merupakan badan rujukan dalam perkara ini juga telah memberikan kerjasama yang kukuh di dalam usaha memartabatkan tulisan Jawi di negeri Pahang.

Penganjuran Kursus dan Bengkel Jawi di dalam Siri Jelajah Pahang dan Pembentukan Munsyi Jawi

Penganjuran kursus ini telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada peserta yang terdiri daripada pensyarah, guru, kakitangan jabatan dan pelajar. Kini kursus ini telah dijalankan dalam skala dan penglibatan yang terhad mengikut keperluan dan kesesuaian modul yang disediakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) seperti peringkat asas, pertengahan dan lanjutan.

Dokumentasi Berorientasikan Pemerkasaan Jawi

Dengan memanfaatkan apa-apa kemudahan atau ruangan yang boleh dijadikan pentas pemerkasaan Jawi, MUIP telah mengetengahkan penulisan Jawi ini dalam beberapa segmen seperti berikut:
a. Siri-siri program anjuran MUIP, banting, poster dan sebagainya.
b. Penerbitan-penerbitan MUIP seperti Kolum Jawi dan Buletin Ar-Risalah.
c. Dokumentasi seperti tauliah-tauliah pelantikan, minit mesyuarat, sijil-sijil dan
dokumen pentadbiran yang lain.

Menjadikan Pemerkasaan Jawi Sebagai Program Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang

Bagi memastikan terdapatnya kesinambungan kepada usaha-usaha pemerkasaan tulisan Jawi yang telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan seperti mewujudkan program Jawi, Al-Quran, Arab dan Fardu ‘Ain (j-QAF), Kelas Asas Fardu Ain (KAFA) dan sebagainya di peringkat sekolah rendah; MUIP juga akan mengembangkan tulisan Jawi ini di peringkat Sekolah Menengah Agama di Negeri Pahang. Usaha ini akan dijalankan secara berkala dan mengikut keperluan kumpulan sasaran.

Munsyi (Dewan) Jawi
Menjalankan peranan sebagai pakar rujuk Jawi bagi membantu masyarakat dalam usaha menyemarak dan memartabatkan tulisan Jawi di negeri ini khusunya. Dewan Bahasa dan Pustaka melantik Munsyi (Dewan) Jawi dalam kalangan kakitangan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang sepertimana berikut :-

  1. Tuan Haji Mohd Ali bin Mat Dasir, Pegawai Zakat Kanan
  2. Ustaz Abdul Rahman bin Talib, Penolong Pegawai Zakat Kanan, Unit Pembangunan Asnaf
  3. Ustaz Hazwan Hafiz bin Abdul Jalil, Pegawai Hal Ehwal Islam , MUIP Cawangan Cameron Highlands
  4. Ustaz Mohd Hafis bin Mohd Saad, Pegawai Hal Ehwal Islam, MUIP Cawangan Muadzam Shah,
  5. Ustaz Mohd. Fadilah bin Abdul Manaf, Penolong Pegawai Zakat, Unit Masjid, Surau dan Al-Quran,
  6. Ustaz Nazrul Hilmi bin Mustaffa, Pembantu hal Ehwal Islam, Unit Pembangunan Asnaf
Bil.PembelajaranPautan
(1)Huruf Tunggal Jawi Padanan RumiKlik
(2)Sambungan Huruf Tunggal Jawi Padanan RumiKlik
(3)Mengenal AngkaKlik
(4)Bentuk Tulisan JawiKlik
(5)Mengenal Huruf Bersambung & Tidak BersambungKlik
(6)Permasalahan Tentang Kedudukan TitikKlik
(7)Padanan HurufKlik