Adalah dimaklumkan bahawa mulai Ramadhan 1431H umat Islam di negeri Pahang yang ingin menunaikan kewajipan zakat fitrah bolehlah menggunakan perkhidmatan baru yang disediakan oleh Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang melalui sistem pesanan ringkas (SMS) dengan menaip FITRAH dan hantar ke 21999 diikuti arahan seterusnya . Untuk mendapatkan Resit Rasmi dari MUIP boleh melayari http://mfitrah.celcom.net.my Kemudahan ini disediakan dengan kerjasama antara Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang dan Celcom Axiata Berhad. Umat Islam tidak perlu ragu-ragu bagi menggunakan kemudahan yang disediakan kerana ianya diharuskan oleh syarak sebagaimana yang telah diputuskan oleh Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang. Adalah diharapkan melalui perkhidmatan yang disediakan akan memberikan kemudahan kepada umat Islam menunaikan kewajipan zakat fitrah khususnya kepada golongan wanita dan mereka yang sentiasa sibuk dengan kerjaya serta warga negeri Pahang yang berada di luar negeri Pahang. Disamping itu juga diharapkan dengan ada perkhidmatan ini maka kutipan zakat fitrah di negeri Pahang pada tahun ini akan meningkat berbanding tahun 1430H sebnayak RM 6,183,058.00. Perkhidmatan yang disediakan ini dibuka talian mulai awal Ramadhan sehingga 6 petang akhir Ramadhan. Diharapkan umat Islam tidak menunggu saat-saat akhir bagi menunaikan zakat fitrah tetapi bolehlah membayarnya daripada sekarang. Di kesempatan in, saya bagi pihak Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa Ramadhan dan selamat menunaikan zakat fitrah pada tahun ini serta Selamat Hari Raya Aidil Fitri. Sekian,Wassalamualaikum W.B.T
YDH ORANG KAYA INDERA PAHLAWAN DATO' SRI WAN HAJI ABDUL WAHID BIN HAJI WAN HASSAN SSAP.,SIMP.,DSAP.,SAP.,SAP.,JSM.,AMP TIMBALAN YANG DIPERTUA, MAJLIS UGAMA ISLAM DAN ADAT RESAM MELAYU PAHANG |