|
PENGENALAN Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) yang ditubuhkan pada tahun 1926 telah mengalami pelbagai perubahan dari tahun ke tahun. Sehingga ke hari ini Majlis Ugama Islam Pahang telah melangkah ke era pengkorporatan di mana Majlis Ugama Islam telah dibenarkan berniaga sebagaimana yang diperuntukkan di dalam Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam 1991, Seksyen 4(1) yang berbunyi:- “ 4(1) Maka adalah dengan ini ditubuhkan suatu pertubuhan perbadanan bernama Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang yang kekal turun-menurun dan boleh mendakwa dan didakwa atas namanya dan, tertakluk kepada dan bagi maksud Enakmen ini, boleh membuat kontrak dan boleh memperolehi, membeli, mengambil, memegang dan menikmati apa-apa jenis harta alih dan harta tak alih dan boleh memindah hak, menyerah hak, menyerah balik, memulangkan, menggadai, menggadai janji, mendemis, menyerah hak semula, memindah milik atau dengan cara lain melupuskan atau membuat apa-apa urusan mengenai apa-apa harta alih atau tak alih atau apa-apa kepentingan mengenainya yang terletak hak pada Majlis mengikut apa-apa syarat yang Majlis fikirkan patut.” SEJARAH PENUBUHAN MUIP Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang mula ditubuhkan pada tahun 1926. Al-Marhum Yang Teramat Mulia Tengku Sulaiman adalah Yang DiPertua Majlis yang pertama. Pada mulanya Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang dikenali sebagai Majlis Anggota Islam Pahang, kemudian bertukar nama kepada Majlis Ugama Islam dan Adat Istiadat Melayu Pahang sebelum bertukar kepada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang yang kekal sehingga ke hari ini. Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang merupakan sebuah badan berkanun negeri yang ditubuhkan di bawah Perkara 24 Bahagian Pertama Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Pahang dan diperbadankan di bawah Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam 1991. Pada 08 Mei 1974, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah ibni Al Marhum Sultan Abu Bakar Ri’ayattudin Al Muadzam Shah DKP. Telah menaiki takhta Kerajaan Negeri Pahang. Selaku Ketua Agama Negeri Pahang ketika itu, Baginda sendiri telah mempengerusikan Mesyuarat MUIP. Mulai 01 Nivember 1984, Baginda Tuanku Sultan melantik Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang selaku Yang DiPertua MUIP dan kekal menerajui MUIP sehingga ke hari ini. Sungguhpun baginda Tuanku Sultan Pahang tidak lagi mempengerusikan Mesyuarat MUIP, Baginda terus mengikuti perkembangan MUIP dan kemajuan syiar Islam di negeri ini. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, selaku Raja Pemerintah dan Ketua Agama bagi Negeri Pahang Darul Makmur telah menjadi sumber inspirasi dan penggerak utama dalam menjana kemajuan syiar Islam dan pembangunan Ummah di Negeri Pahang. Di bawah naungan dan teraju kepimpinan Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang terus berkembang maju seiring dengan pembangunan dan kehendak semasa untuk memenuhi keperluan syarak dan umat Islam masa kini.
|