| PENGUMUMAN KADAR ZAKAT FITRAH 1433 HIJRAH
|
Assalamu’alaikum w.b.t. Adalah dimaklumkan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah,DKP, selaku Raja Pemerintah serta Ketua Agama Negeri Pahang Darul Makmur telah memperkenankan kadar zakat fitrah bagi negeri Pahang untuk tahun 1433 Hijriyyah bersamaan 2012 Miladiyyah ialah RM7.00 (Ringgit Malaysia Tujuh Sahaja). Semua umat Islam dalam negeri ini hendaklah mengeluarkan zakat fitrah mereka kepada amil yang telah diberi tauliah oleh Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (Majlis) di tempat masing-masing bermula daripada awal Ramadhan dan selewat-lewatnya sebelum solat sunat hari raya Aidilfitri. Sesiapa yang enggan berbuat demikian adalah melakukan kesalahan di bawah SEKSYEN 171( 1 ) ENEKMEN PENTADBIRAN UGAMA ISLAM DAN ADAT RESAM MELAYU PAHANG, NO.8 TAHUN 1982 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih daripada satu ribu ringgit atau penjara tidak lebih daripada enam bulan atau kedua-duanya sekali. Manakala sesiapa yang didapati membayar zakat atau fitrah kepada seseorang amil yang tidak bertauliah dan sesiapa yang bukan amil menerima atau mengutipnya adalah melakukan kesalahan di bawah SEKSYEN 173 ENAKMEN PENTADBIRAN UGAMA ISLAM DAN ADAT RESAM MELAYU PAHANG, NO.8 TAHUN 1982 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih daripada dua ribu ringgit atau penjara tidak lebih daripada satu tahun atau kedua-duanya sekali. Bagi melancarkan urusan kutipan zakat fitrah ini, seramai 944 orang amil zakat fitrah telah ditauliahkan untuk melaksanakan tugas mengutip zakat fitrah dalam negeri Pahang. Selain daripada itu kemudahan pembayaran zakat melalui SMS untuk pengguna Celcom dan Maxis juga boleh dibuat. Justeru itu umat Islam di negeri ini dinasihatkan supaya memastikan mereka membayar zakat kepada amil yang mempunyai kad kuasa dan resit bayaran yang dikeluarkan oleh Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang. Sempena bulan Ramadhan ini umat Islam digalakkan supaya mendirikan solat sunat Tarawih secara berjama’ah di masjid berdekatan. Bagi tujuan pengimarahan masjid-masjid di bulan Ramadhan, Majlis telah memperuntukkan sebanyak RM 1,822,000.00 untuk keseluruhan masjid di negeri Pahang. Bagi persediaan menyambut Aidilfitri, Majlis turut menyalurkan bantuan menyambut hari raya kepada asnaf fakir,miskin dan muallaf agar kegembiraan menyambut Aidilfitri dapat dinikmati bersama. Setiap ketua isi rumah akan menerima RM400.00 untuk fakir, RM300.00 untuk miskin dan RM300.00 untuk muallaf manakala untuk setiap tanggungan akan menerima RM50.00. Di kesempatan ini, saya bagi pihak Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa Ramadhan dan selamat menunaikan zakat fitrah pada tahun ini. Sekian, wassalamu’alaikum w.b.t.
YDH ORANG KAYA INDERA PAHLAWAN DATO’ SRI WAN HAJI ABDUL WAHID BIN HAJI WAN HASSAN SSAP.,SIMP.,DSAP.,SAP.,JSM.,AMP TIMBALAN YANG DIPERTUA, MAJLIS UGAMA ISLAM DAN ADAT RESAM MELAYU PAHANG. Tarikh : 06 JULAI 2012
|